Bekalan minyak masak paket pulih

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG BIDARA 24 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka hari ini mengesahkan bekalan minyak masak bersubsidi pulih sepenuhnya.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, berbanding kekurangan bekalan di pasaran dua minggu lalu, keadaan hari ini jauh lebih baik berikutan kerjasama syarikat pembungkusan bahan masakan itu meningkatkan pengeluaran 100 peratus sejak minggu lalu.

Katanya, ia sejajar arahan KPDNHEP negeri supaya syarikat terbabit membantu usaha menstabilkan bekalan di pasaran.

“Pemantauan pegawai penguat kuasa kementerian mendapati bekalan di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit semakin pulih hari ini dan kami berharap peniaga mampu memastikan seorang pelanggan hanya dibenarkan
membeli tiga paket.

“Saya mengingatkan pengguna supaya tidak mengulangi tindakan membeli minyak masak paket dalam jumlah yang banyak seperti berlaku beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

“Tindakan seumpama itu akan kembali menyebabkan bekalan berkurangan, sekali gus menyebabkan ada pengguna yang tidak berpeluang mendapatkannya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, peruncit Othman Hassan, 63, berkata masih ada pelanggan ingin mendapatkan bekalan minyak masak melebihi tiga paket.

“Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka mengenai peraturan KPDNHEP dan alhamdulillah mereka memahaminya,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini.

Muhammad Fattah menyusun minyak masak paket di kedainya di Taman Masjid Tanah.

Muhammad Fattah Amirullah, 21, berkata bekalan minyak masak di kedainya kembali stabil mulai semalam dengan tiga syarikat pembekal membuat penghantaran seperti yang dipesannya.

“Alhamdulillah, keadaan sudah kembali normal seperti sebelum dua minggu lalu dan pelanggan kembali membeli secara biasa dan tidak berebut-rebut,” katanya ditemui di
kedainya di Taman Masjid Tanah, di sini.

Katanya, ada pelanggan mendakwa tidak tahu mengenai peraturan KPDNHEP dan cuba mendapatkan lebih daripada tiga paket minyak masak, namun akur apabila diberi penjelasan.

Views:

2083
Kongsi :
Previous post Mesin jahit antik koleksi terbaharu Muzium Mersing
Next post COVID-19: Putra Specialist Hospital Melaka tidak benarkan pelawat
Ubah saiz-+=