COVID-19: Putra Specialist Hospital Melaka tidak benarkan pelawat

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KOTA LAKSAMANA 24 Jan – Hospital Pakar Putra Melaka atau Putra Specialist Hospital tidak membenarkan pelawat memasuki premis berkenaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radhuana Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya sebelum ini menghadkan jumlah pelawat dalam satu-satu masa sejak PKP 1.0 tahun lalu, namun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di negeri ini, arahan tidak membenarkan pelawat perlu dikuat kuasa.

Bagaimanapun katanya, hanya seorang peneman atau penjaga dibenarkan ketika temu janji klinik atau pesakit yang mendapatkan rawatan di wad hospital.

“Bagi pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan, penjaga berkenaan perlu menjalankan ujian calitan atau penggunaan kit ujian pantas (RTK) sebelum dibenarkan berada dalam hospital selain mengehadkan pergerakan mereka keluar masuk hospital.

“Malah, kita tidak benarkan penjaga yang mempunyai gejala COVID-19 memasuki kawasan hospital.

“Kita tidak pasti orang ramai yang keluar masuk ke hospital jadi demi memastikan wabak itu tidak terdedah menjangkiti pesakit mahupun kakitangan, jadi pihak hospital menguatkuasakan larangan itu,” katanya dihubungi hari ini.

Radhuana berkata, pihak hospital sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan berusaha untuk membantu kerajaan melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negeri ini.

“Hospital hanya membenarkan individu yang mempunyai urusan seperti janji temu klinik atau mahu mendapatkan rawatan,” katanya.

Views:

1919
Kongsi :
Previous post Bekalan minyak masak paket pulih
Next post ‘Pak cik nak pergi hospitallah, bukan merayau-rayau’
Ubah saiz-+=