‘Pak cik nak pergi hospitallah, bukan merayau-rayau’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 24 Jan – Warga emas berusia 69 tahun yang gambarnya tular memakai gelang merah jambu sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, sebenarnya dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah bagi memotong gelang berkenaan pagi tadi.

Menerusi gambar yang tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp itu, lelaki berkenaan didakwa sengaja keluar rumah untuk mengisi minyak sekali gus menimbulkan panik orang ramai mengenai tindakannya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada jam 9.54 pagi itu, lelaki berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan ke hospital itu untuk memotong gelang terbabit sebelum keretanya kehabisan minyak.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu

Bagaimanapun, katanya apabila pulang dari hospital berkenaan, anaknya memberitahu gambarnya sedang mengisi minyak itu ditularkan menerusi Facebook.

“Susulan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada jam 1 petang tadi bagi menjelaskan situasi sebenar dan menafikan dakwaan tersebut serta memohon pihak yang berkenaan memadamkan gambar yang ditular,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati pengadu menjalani ujian calitan sebelum diarahkan kuarantin bermula 13 Januari hingga semalam di rumahnya di Taman Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

“Pemeriksaan turut mendapati stesen berkenaan merupakan stesen minyak pertama ditemui pengadu dalam perjalanan tiga beranak itu menghala ke Hospital Alor Gajah.

“Siasatan yang dijalankan pengadu terpaksa berhenti untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke hospital itu,” katanya.

Views:

835
Kongsi :
Previous post COVID-19: Putra Specialist Hospital Melaka tidak benarkan pelawat
Next post Dua beradik terkejut jumpa mayat bapa dalam perahu
Ubah saiz-+=