Mesyuarat Jawatankuasa RTG minggu depan, kaji keperluan atlet negara

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUTTERWORTH, 10 Jun – Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan bermesyuarat pada minggu hadapan bagi membincangkan dan mengkaji keperluan atlet negara sekali gus memastikan peluang Malaysia mendapat pingat emas tetap cerah, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. 

Susulan luahan rasa kecewa jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang masih gagal menyediakan sistem sokongan lengkap di sini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Yeoh berkata pihak kementerian mengambil perhatian serius permintaan atlet negara tersebut.

“Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat minggu hadapan untuk mengkaji setiap permintaan atlet yang dipilih dalam RTG.

“Saya telah hubungi Azizul menerusi koordinator kami Datuk Stuart Ramalingam dan kami akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita untuk pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya di sini hari ini.

Mengulas berkenaan program hari ini, Yeoh berkata ia merupakan inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi merealisasikan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat khususnya di komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA). 

Dengan pengisian aktiviti senamrobik atau zumba, beliau berkata objektif program adalah untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat terutamanya melibatkan komuniti PPR dan PPA, selain mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

“Untuk fasa pertama ini, program zumba ini akan berjalan setiap Sabtu atau Ahad selama 30 minggu di dua PPR terpilih melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kos jurulatih akan dibayar oleh KBS untuk 30 minggu iaitu sehingga Disember 2023 dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 36,000 orang,” katanya, sambil menambah bahawa fasa kedua program ini akan melibatkan Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1395
Kongsi :
Previous post FAMA Melaka sasar 60 Program Jualan Agro Madani dalam tempoh enam bulan
Next post Tindakan tegas selesaikan isu pencemaran sungai di Klebang
Ubah saiz-+=