FAMA Melaka sasar 60 Program Jualan Agro Madani dalam tempoh enam bulan

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

ALOR GAJAH, 10 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 60 Program Jualan Agro Madani di seluruh negeri itu dengan anggaran hasil jualan mencecah RM1 juta dalam tempoh enam bulan bermula Jun ini.

Pengarah FAMA Melaka Hairudin Yunos berkata penganjuran program berkenaan akan dianjurkan sebanyak 10 kali pada setiap bulan secara serentak di ketiga-tiga daerah di negeri itu dengan menyasarkan lokasi berhampiran kompleks kerajaan, outlet peruncitan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kawasan perumahan B40, projek perumahan rakyat di bandar dan luar bandar.

“Program Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang menawarkan jualan pelbagai barangan antaranya produk segar seperti ayam, ikan dan daging, barangan kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung serta beras.

“Kesemua produk jualan berkenaan akan dijual pada harga lebih murah antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga di pasaran dalam usaha membantu meringankan beban golongan B40,” katanya kepada pemberita selepas Program Souq Subuh di Perkarangan Masjid An-Anshariah, Lubok Redan di sini hari ini.

Hairudin berkata selain itu, Kombo Madani melibatkan jualan produk secara pakej seperti antaranya ayam, gula, tepung dan minyak masak juga akan dijual pada harga istimewa.

Beliau berkata objektif penganjuran Program Jualan Agro Madani bertujuan meningkatkan ‘accessibility’ dan ‘availability’  bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk segar pada kadar munasabah dan berpatutan.

Dalam perkembangan lain, katanya Program Souq Subuh atau Pasar Subuh telah dianjurkan di 35 lokasi di sekitar Melaka dengan nilai jualan mencecah RM500,000 dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

“Kami menyasarkan untuk menganjurkan Program Souq Subuh sebanyak 65 kali sehingga akhir tahun ini di lokasi tumpuan utama iaitu berhampiran kawasan masjid atau surau yang mempunyai tapak yang bersesuaian bagi menawarkan projuk jualan pada harga lebih rendah antara lima hingga 30 peratus.

“Selain itu, penganjuran program pada Sabtu dan Ahad ini juga membantu pihak masjid dan pemimpin setempat untuk menyantuni rakyat khususnya selepas solat dan kuliah subuh,” katanya.

Beliau berkata Program Souq Subuh telah memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 pengguna khususnya rakyat Melaka selain memberi ruang dan peluang kepada penduduk setempat untuk memasar atau menjual produk makanan dengan tiada caj dikenakan kepada mereka.

Katanya program itu juga menawarkan perkhidmatan pratempahan dalam talian kepada pengguna menerusi dua portal utama FAMA iaitu Melaka Digital Live serta Agrobazaar Online dan tempahan itu akan dihantar terus kepada pengguna menggunakan perkhidmatan AgroXpress.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2799
Kongsi :
Previous post Inisiatif tanaman padi lima musim dalam dua tahun dipertimbang
Next post Mesyuarat Jawatankuasa RTG minggu depan, kaji keperluan atlet negara
Ubah saiz-+=