MFL kesal budaya samseng bola sepak

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kesal dengan insiden pergaduhan di antara segelintir penyokong Kuala Lumpur (KL) City FC dan Selangor FC di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata budaya samseng bola sepak tidak akan sesekali mendapat tempat di dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan beliau bersimpati dengan mangsa yang difahamkan mengalami kecederaan akibat mercun serta lain-lain semasa kekecohan itu.

Beliau berkata perbuatan itu turut memberi kesan buruk terhadap industri Liga-M yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan lebih banyak kelonggaran daripada kerajaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih dua tahun.

“MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini. Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak bukannya pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua pihak di dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada pihak kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Stuart berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City Stanley Bernard dan CEO Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berhubung insiden itu.

“Bukan sahaja KL City dan Selangor tetapi kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga-M menolak keras budaya samseng dalam bola sepak kerana itu bukan budaya kita.

“Semua pihak senada dalam perkara ini dan saya berharap industri bola sepak di negara ini dapat bebas daripada budaya samseng bola sepak.

“Paling mustahak, kita mesti memastikan stadium selamat untuk semua peminat dan tidak membiarkan tindakan segelintir itu membahayakan kanak-kanak serta orang dewasa demi keselamatan dan persekitaran yang selesa diperlukan untuk semua penyokong,” katanya.

Terdahulu, tular video kekecohan di antara segelintir penyokong KL City dan Selangor FC di Stadium KLFA selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi Liga Super semalam. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post Berhabis hampir RM8,000 beli bot hadapi kemungkinan banjir
Next post Raja Muda Perlis dilantik semula Canselor UniMAP
Ubah saiz-+=