Minyak masak peket kini jadi rebutan

Masa Membaca:2 Minit, 50 Saat

Oleh Mohamad Fazrul Abdul Majid, Liana Sahabudin, Faiz Hasan & Farah Shuhaida Othman

MELAKA 8 Jun – Kenaikan harga minyak masak botol secara mendadak ketika ini membuatkan orang ramai kini beralih kepada pembelian minyak masak peket bersubsidi RM2.50 sekilogram.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-rata peniaga kedai runcit mengakui permintaan minyak masak peket sekilogram itu sedang meningkat dalam kalangan pengguna.

Menurut peniaga kedai runcit di Bukit Rambai, Basiran Md Nasir, 52, ekoran permintaan yang tinggi saban hari, dia kini mengambil pendekatan mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi itu hanya tiga peket bagi satu keluarga.

BASIRAN menunjukkan bekalan minyak masak peket yang dijual di kedai runcitnya di Taman Rambai Utama.

Katanya, walaupun mendapat rungutan segelintir pelanggan, namun, ia terpaksa dilakukan bagi memastikan semua orang dapat membeli barangan keperluan asas itu terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini.

“Diikutkan kami peniaga memang suka bila bekalan cepat habis kerana modal kita berada di situ, tetapi saya mahu semua dapat beli minyak masak peket…sebab itulah saya hadkan.

“Buat masa ini, bekalan minyak masak peket mencukupi kerana setiap dua minggu sekali saya akan menerima stok sekitar 340 peket untuk dijual di kedai.

“Cuma, nasihat saya kepada orang ramai, belilah mengikut keperluan. Kalau habis, belilah lagi dan janganlah sehingga membuat pembelian panik,” katanya yang lega orang ramai memahami perkara itu.

MOHAMED NAYZIER

Di BUKIT KATIL, peniaga kedai runcit Mohamed Nayzier Mohamed Ali, 58, berkata, setakat ini kedainya masih menerima bekalan sebanyak 170 kilogram minyak masak peket setiap hari.

“Jumlah ini bergantung kepada pihak pembekal yang menghantar 10 kotak minyak masak peket setiap hari, tapi bila hujung bulan bekalan mesti berkurangan kerana kuota untuk kita beli sudah habis.

“Jika bekalan kurang memang kita hadkan jualan minyak masak untuk pelanggan yang mana mereka hanya dibenarkan untuk membeli tiga peket minyak masak setiap seorang,” katanya.

Bagi peniaga Muhammad Abullais Anuar, 45, di Taman Pertam Jaya, Semabok, meskipun berlaku kenaikan harga minyak dalam botol, dia bersyukur kerana masih boleh mendapatkan bekalan minyak peket hampir setiap minggu bagi memenuhi permintaan dan tidak mengalami kekurangan stok.

Bagaimanapun katanya, dia menetapkan jualan tiga peket minyak masak bagi setiap pelanggan dalam memastikan mereka yang berniaga tidak membeli berlebihan.

MUHAMMAD ABULLAIS

“Setiap bulan saya menerima stok bekalan minyak peket sekitar 30 kotak (600 kilogram), walaupun permintaan kian tinggi, namun setakat ini stok sentiasa ada dan pelanggan membeli ikut had ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemborong minyak masak di Lubok China, Loy Suan May berkata, stok minyak peket masih mampu dibekalkan kepada peruncit kecil dan pelanggan harian di kedainya, malah harga minyak botol lima kilogram dijual di bawah RM30.

Ujarnya, minyak masak botol bagaimanapun kurang mendapat sambutan apabila hanya 10 katon sahaja mampu dijual seminggu daripada bekalan 100 katon yang diterima, manakala 100 karton minyak masak peket pula tiada masalah untuk dihabiskan dalam tempoh sama.

“Harga bekalan ini bergantung kepada pembekal, malah sementara ini kami menjual dengan harga sama daripada stok yang diterima sebelum ini dan jika pembekal naikkan harga minyak masak botol kami terpaksa naikkan sedikit harga.

“Dari kenaikan harga itu, kita dapati permintaan minyak masak peket semakin meningkat dan sekiranya berlaku kekurangan stok pada masa akan datang kita akan mengehadkan lima paket buat satu keluarga seperti mana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 200 sukarelawan MyVac – Mohd Rafiq
Next post Peniaga kedai runcit lega tiada lagi ‘rak berkunci’
Ubah saiz-+=