MISB perluas pasaran mengikut syariah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MELAKA 9 Nov. – MAIM Industries Sdn. Bhd., (MISB) melebarkan sayap dalam bidang perniagaan dengan berfokuskan pasaran mengikut syariah Islam menerusi anak syarikat MAIM Holdings Berhad (MHB) yang dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Pengurus MAIM Industries Sdn. Bhd., Shahfulrizal A. Bakar berkata, syarikat tersebut memulakan operasi sekitar tahun 1997 dan menceburkan perniagaan dalam bidang pembekalan perabot, alatan persekolahan, buku tulis dan buku latihan kepada sekolah di bawah pentadbiran JAIM iaitu Sekolah Rendah Arab (SRA), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Rendah JAIM.

Bagaimanapun kata Shahfulrizal, MISB terus meluaskan pasaran dalam pelbagai bidang sebagai satu usaha untuk memastikan MISB mampu bersaing menyediakan produk patuh syariah khususnya kepada umat Islam.

“Rentetan itu, MISB sentiasa melakukan pelbagai inisiatif dalam mengenal pasti dan membantu meningkatkan perniagaan milik Bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam aktiviti pengedaran barangan keperluan harian.

ANTARA pakej kit bantuan ke sekolah yang disediakan MAIM Industries Sdn. Bhd

“Selain itu, MISB juga mempunyai misi untuk menjadi sebuah syarikat Bumiputera yang progresif dan maju dalam sektor perkhidmatan dan pembekalan mengikut syariah Islam,” katanya.

Tambah beliau lagi, MISB juga dilantik sebagai salah satu panel pembekal makanan bulanan kepada komuniti asnaf dan fakir miskin di Daerah Melaka Tengah.

” Bagi mengembangkan lagi perniagaanya, MISB turut dilantik sebagai pembekal pakaian sekolah bagi anak-anak golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

“Menariknya, kini MISB boleh dikunjungi orang ramai di Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh untuk melihat dan mendapatkan sendiri produk hasil keluaran Bumiputera di ruang niaga tersebut, ” ujarnya lagi.

Di ruang niaga yang terletak di aras satu Kompleks Beli Belah Melaka Mall itu, pelbagai produk dijual seperti makanan, minuman, peralatan sekolah dan lain-lain lagi.

Paling penting produk dipasarkan mengikut syariah dan harganya berpatutan.

Views:

1855
Kongsi :
Previous post Pemodenan pembedahan melalui laparoskopi
Next post Sulaiman pengerusikan Mesyuarat JK Khas Keselamatan Negeri
Ubah saiz-+=