Misi besar skuad Hang Tuah

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PEMAIN baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) melaungkan ikrar untuk membantu pasukan berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super 2021.

Pemain pertahanan kelahiran Kedah, Khairul Helmi Johari berkata, misi itu bukan mustahil dicapai memandangkan skuad Hang Tuah sudah melakukan persiapan rapi sejak awal musim.

Tonggak pertahanan Kedah sejak 2007 itu, bahkan percaya kudrat yang masih ada padanya bersama pemain lain mampu membawa MUFC menghuni kedudukan tiga terbaik musim ini.

KHAIRUL Helmi (tengah) dan Ott (dua dari kanan) ketika menjalani latihan bersama Melaka United. (Foto: MUFC)

“Diikutkan semua pasukan menyasarkan kedudukan lima terbaik, tetapi melihat kepada persiapan dan keserasian semua pemain, saya yakin kita boleh berada dalam kelompok tiga teratas.

“Apapun, saya akan cuba untuk memastikan benteng pertahanan pasukan terus ampuh dan kita tidak keciciran mata dalam saingan liga yang akan bermula Mac depan,” katanya.

Pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang pertama kali menyarung jersi Hijau Putih pula berharap ‘kepulangannya’ ke pasukan Liga Super akan membawa tuah buat pasukan.

“Sebelum ini saya beraksi dengan kelab Liga Premier dan alhamdulillah tahun ini saya berjaya kembali ke kancah Liga Super. Jadi, tekad saya ialah untuk lakukan yang terbaik demi membantu pasukan menjaringkan gol.

“Insya-Allah dengan sokongan padu daripada semua, kami yakin untuk menembusi tembok lima terbaik sepanjang aksi liga musim ini,” katanya yang mesra disapa ‘Kecik’.

ALEX dos Santos.

Sementara itu, penyerang import baharu Melaka United Alex dos Santos Gonçalves pula menyatakan keterujaan apabila buat pertama kalinya beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Tonggak kelahiran Brazil itu mengakui tidak perlu berfikir panjang untuk menyertai MUFC memandangkan dia banyak mendengar perkembangan positif kelab ini daripada rakannya yang pernah beraksi di Malaysia sebelum ini.

“Saya sangat gembira berada di sini. Terima kasih semua yang membantu saya untuk beraksi di Malaysia buat kali pertama. Ia suatu perasaaan yang sukar digambarkan.

“Saya tidak boleh menjanjikan sesuatu yang besar, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah saya akan berikan yang terbaik untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi membantu pasukan musim ini,” katanya yang akan bergandingan dengan seorang lagi penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic.

Bagi Manuel Gelito Ott, 28, yang akan beraksi di posisi tengah pula memaklumkan dirinya kian selesa bersama pasukan sejak tiba di Malaysia bulan lalu.

Pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman itu turut yakin skuad dikendalikan Zainal Abidin Hassan mempunyai kualiti yang cukup untuk menyaingi kelab lain musim ini.

“Secara keseluruhan, pengalaman di sini cukup menarik memandangkan saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri bersama semua pemain.

“Boleh dikatakan kami mempunyai persefahaman yang baik dan saya sangat teruja untuk memulakan musim ini dengan kecemerlangan,” katanya.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Cubaan sorok anak dalam but gagal, wanita didenda RM1,000 ingkar SOP
Next post Jangan ‘peram’ pemain muda
Ubah saiz-+=