Misi selesai isu banjir 15 tahun

Masa Membaca:3 Minit, 33 Saat

PAYA RUMPUT 4 November – Menyelesaikan isu banjir yang membelenggu penduduk menjadi antara misi utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, tumpuan utamanya ialah lokasi yang dihantui masalah banjir berulang sejak 15 tahun lalu iaitu Taman Rambai Utama.

Menurut Rais, permasalahan utama yang dialami di taman tersebut adalah disebabkan sistem perparitan yang kecil dan tidak diselenggara seiring dengan perkembangan persekitaran yang membangun.

“Antara faktor lain yang difahamkan oleh penduduk, adalah kawasan taman yang berhampiran dengan kawasan perindustrian iaitu kilang arang.

“Selain itu, faktor saliran juga antara punca banjir kawasan perumahan ini, kerana taman ini hampir dengan tali air di Sungai Ayer Hitam.

“Di mana apabila setiap kali hujan kebelakangan ini, air naik bercampur lumpur hitam yang menyebabkan penduduk bertambah penat untuk mengemas rumah.

“Saya harapkan pihak berwajib dan agensi bertanggungjawab untuk sama-sama membantu menyelesaikan isu yang sudah lebih 15 tahun menghantui penduduk Taman Rambai Utama ini,” katanya.

AGENSI KERAJAAN PERLU BANTU

Rais yang juga Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri berkata, kira-kira hampir 100 buah rumah akan dinaiki air jika hujan lebat melebihi tempoh dua jam.

“Di pihak saya telah berjumpa dan menghantar surat selaku Adun kawasan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menyelesaikan isu banjir di taman ini.

“Namun, saya beranggapan untuk saya bertindak sendirian itu mustahil, saya tetap memerlukan bantuan dari pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan agensi berkaitan seperti Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya cakap ini untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk cari salah, kalau berkaitan bajet, kita di peringkat atasan boleh cari sama-sama.

“Hal ini kerana saya tidak boleh datang setiap kali berlaku banjir untuk redakan hati penduduk bagitahu perkara sama,” tegasnya.

3
RAIS ketika melawat antara penduduk yang kerap dibelenggu masalah banjir di Lorong Taman Rambai Utama 20.

RAYUAN PENDUDUK

Sementara itu, penduduk di taman perumahan itu menyuarakan harapan agar ada sinar yang menjelma bagi mengatasi masalah yang membelenggu sejak sekian lama itu.

Seorang wakil penduduk, Abd Ghani Othman, 54, mendakwa masalah banjir yang kerap berlaku itu menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan terutama ketika hujan lebat.

Dia yang juga seorang penjawat awam berkata, masalah banjir di kawasan itu semakin ketara sejak akhir-akhir ini berikutan sistem perparitan yang sempit dan tersumbat menyebabkan air longkang melimpah dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air.

“Kebiasaan air akan bertakung atas jalan raya sahaja, tetapi kebelakangan ini, sejak banjir paling teruk tahun lalu setiap kali hujan lebat kami terpaksa membersihkan lantai rumah sehingga ke dapur menyebabkan perabot kayu dan sofa terpaksa dibuang.

“Kami penduduk di sini, tidak meminta kerajaan untuk memberi bantuan setiap kali banjir, cuma kami rayu tolonglah selesaikan isu perparitan dan buat sampai tiada banjir langsung di sini, tolong lah,” rayunya.

4
MENYAMPAIKAN sumbangan bencana kepada penduduk terkesan banjir.

Nada sama turut disuarakan oleh seorang lagi penduduk, Mohd Khawari Fazmi Zulkefli, 40.

Katanya, dia dan isteri kerap diselubungi keresahan setiap kali hujan berlaku pada malam hari kerana bimbang tidak sempat menyelamatkan dokumen penting.

“Sudah pasti kami risaukan dokumen penting setiap kali banjir, tapi sampai bila perlu risau?

“Banjir di taman ini sudah terlalu sering berlaku, ibu saya pula sendirian tiggal di Lorong Rambai Utama 11, di mana lokasi itu memang akan naik air dalam masa yang cepat, jadi setiap kali hujan, sudah pasti keselamatan ibu paling saya risaukan.

“Hendak merayu, sudah habis dirayu, fikirkanlah kepayahan yang kami alami, sudah semacam trauma apabila hujan,” katanya yang tinggal di Lorong Rambai Utama 4.

6
RAIS

BIODATA

Nama: Datuk Rais Bin Datuk Wira Yasin
Umur: 38

Karier:-
– Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput (2021 – kini)

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar

Politik:-
– Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2018 – kini)
– Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia (2018 – kini)
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu (2018 – kini)

INFO DUN Paya Rumput

Jumlah pengundi : 42,159

Kampung : 4
Taman Perumahan : 76

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Tokong: 2
Kuil: 2

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 5
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3174
Kongsi :
Previous post Tukar tin buangan jadi ‘bunga’
Next post PRU15: Polis Melaka pantau empat lokasi panas
Ubah saiz-+=