Misi sifar keciciran akademik Cikgu Rosli

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LINGGI 6 Mei – Meskipun sudah bergelar Yang Berhormat (YB), perasaan cakna  dan ingin ambil tahu mengenai bidang akademik khusus permasalahan membabitkan murid atau pelajar keciciran masih menebal dalam diri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Selain menguruskan permasalahan rakyat beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Rosli, tetap meneruskan misi untuk memastikan isu keciciran dalam bidang akademik di Negeri Melaka terus dikurangkan.

Pelantikan Rosli sebagai Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, dianggap kena dengan pengalamannya sebagai seorang pendidik sebelum ini.

Menggunakan pengalamannya Rosli berazam mahu membantu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bagi memastikan kelestarian, kemajuan pendidikan serta kerohanian dalam kalangan anak-anak di negeri ini selari dengan pembangunan Melaka.

“Meskipun data murid tidak bersekolah di Negeri Melaka amat kecil namun perkara ini perlu terus diberi perhatian sepanjang masa.

“Fokus saya bukan sekolah rendah dan menengah sahaja, sebaliknya turut membabitkan peringkat pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui di Japerun Kuala Linggi, di sini, baru-baru ini.

Rosli mengakui tanggungjawab digalasnya ketika ini adalah satu amanah besar yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

Berkongsi mengenai portfolio dipegangnya, Rosli berkata antara fokus utama beliau adalah memastikan mutu pendidikan di sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi ditingkatkan.

“Saya perlu sentiasa belajar daripada kesilapan dan berusaha untuk mencapai yang terbaik,” katanya.

Bukan sekadar mementingkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya Rosli juga mahu memperkasakan pendidikan agama dan kerohanian menerusi pelbagai program dianjurkan di masjid dan surau sekitar Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1819
Kongsi :
Previous post Puasa enam Syawal punyai keberkatan
Next post Proses pemutihan, majikan diminta tampil carum pekerja
Ubah saiz-+=