Puasa enam Syawal punyai keberkatan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PUASA sunat enam hari di bulan Syawal atau lebih dikenali dengan ‘puasa enam’ boleh dilakukan sama ada secara berturutan atau terpisah.

Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang sahih ada menyatakan tentang kelebihan berpuasa Ramadan diikuti puasa sunat enam hari pada bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

Ia merupakan satu-satu keistimewaan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Hadis itu menyatakan barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Kehadiran Syawal bukan semata-mata meraikan kejayaan melipatgandakan amal ibadat sepanjang Ramadan lalu, sebaliknya ia menjadi pengukur sama ada bulan puasa yang berlalu memberi impak atau sebaliknya kepada jiwa kita.

Justeru, antara amalan sunat yang menjadi rebutan umat Islam dalam bulan Syawal ialah puasa sunat enam.

Malah antara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa ialah syurga yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa sahaja seperti sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka, tidak ada yang dibenarkan masuk. (hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain pula, Nabi SAW menceritakan orang berpuasa diseru untuk memasuki syurga melalui pintu itu hingga apabila semua melintasnya, pintu itu akan ditutup.

Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka yang berjaya melepasi ‘ujian’ itu dan amalan sunat itu juga lebih afdal dilakukan berturut-turut awal bulan Syawal, iaitu bermula daripada 2 Syawal.

Namun sekiranya tidak mampu, boleh dikerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal yang fadilatnya tetap ada. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

Mengulas mengenai puasa sunat berkenaan dengan wanita, adalah lebih afdal dan utama bagi wanita mengasingkan puasa qada yang dilakukan sebagai ganti terhadap puasa ditinggalkan disebabkan haid daripada puasa enam, sekali gus menjadi pendapat yang muktamad dalam Mazhab Shafie.

Mengenai cabaran berpuasa sunat dengan menyertai acara rumah terbuka, Mohd Sobri berkata, puasa untuk mendekatkan diri dengan Allah (hablun minallah), manakala memenuhi jemputan pula adalah menjaga hubungan sesama manusia (hablun minannas).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1856
Kongsi :
Previous post Tayar botak: JPJ Melaka keluar 214 notis setakat April 2023
Next post Misi sifar keciciran akademik Cikgu Rosli
Ubah saiz-+=