Sorting by

×

MISI TARIK PELANCONG JEPUN KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

OSAKA, JEPUN 2 September – Penyertaan Melaka di World Expo 2025 Osaka, dimanfaatkan sepenuhnya Kerajaan Negeri bagi mempromosikan sektor pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, misi itu perlu dimanfaatkan sebaiknya memandangkan Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan, selain Tahun Melawat Melaka (TMM) turut dilanjutkan sehingga 2026.

Menurut beliau, peluang mempromosikan sektor pelancongan perlu dimanfaatkan memandangkan Pavillion Malaysia pada ekspo berkenaan terbukti telah berjaya menarik lebih 2.7 juta pengunjung Jepun dan serata dunia sejak ia dibuka.

“Jadi, antara usaha yang kita lakukan adalah mempromosikan produk-produk pelancongan Melaka selain turut mengetengahkan keunikan seni, warisan dan budaya Melaka kepada dunia menerusi tarian, permainan tradisional dan lain-lain lagi.

“Diharap menerusi ekspo ini, kita dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong, khususnya dari Jepun untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Minggu Melaka bersempena World Expo 2025 Osaka di Pavillion Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, antara tarikan utama yang dibawakan sepanjang Minggu Melaka adalah tarian kebudayaan yang cukup sinonim dengan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini, selain joget lambak yang juga menjadi antara warisan seni Melaka serta permainan tradisional seperti dam aji dan konda kondi.

“Kita dapat melihat, rata-rata pengunjung khususnya dari Jepun ini amat meminati dan tertarik dengan seni budaya Melaka yang dipersembahkan.

“Diharap, keunikan ini akan menjadi satu katalis untuk mereka ini datang ke Melaka bagi melihat sendiri kepelbagaian seni budaya yang ada di negeri bersejarah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post TIGA KEKUATAN MELAKA SEBAGAI HAB PELABURAN BERDAYA SAING
Next post PPSPM MAHU PECAH REKOD MBOR, HASILKAN 50,000 ONDE-ONDE