Mohd Ali kini bergelar Tun

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Ketua Menteri Ke-9, Tan Sri Dr. Mohd Ali Rustam menerima gelaran Tun sebentar tadi setelah dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara hari ini.

Gelaran itu dikurniakan kepada Mohd Ali selepas Sultan Abdullah berkenaan mengurniakan watikah pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7 bagi menggantikan Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan hari ini.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung petang tadi turut disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof.

Sementara itu, Sulaiman dalam kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Mohd Ali atas pelantikan tersebut.

“Saya bersama seluruh kepimpinan Negeri Melaka, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kakitangan perkhidmatan awam, kakitangan swasta serta seluruh rakyat Melaka, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7.

“Semoga Negeri Melaka dan rakyatnya akan terus maju dan makmur di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun,” jelas kenyataan itu.

Views:

725
Kongsi :
Previous post Agong kurnia watikah pelantikan TYT Melaka Ketujuh kepada Mohd Ali
Next post Rakyat Bukit Katil sambut ketibaan TYT baharu
Ubah saiz-+=