
MENARA TINJAU GAMIT ‘HIKERS’ TAWAN PUNCAK BUKIT GAPIS
ASAHAN 21 September – Aktiviti mendaki Bukit Gapis atau juga popular dengan panggilan Gunung Melaka kini lebih menarik dengan pembinaan menara tinjau dua tingkat yang pastinya mampu menggamit lebih ramai ‘kaki hiking’ untuk merasai pengalaman itu.
Menariknya, menara tinjau dua tingkat itu dilengkapi dek lantai kaca di tingkat bawah yang pastinya memberi pengalaman lebih istimewa kepada pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, fasiliti itu siap dibina pada awal Ogos lalu sebelum dibuka kepada orang ramai.
Katanya, pembinaan menara tinjauan itu bermula pada Disember tahun lalu selepas menerima peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES) dengan Perbadanan Melaka (MCORP) sebagai pelaksana projek tersebut.
“Keunikan kemudahan ini ialah dek pertama dilengkapi lantai kaca yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung ketika menikmati pemandangan.
“Pastinya menara tinjau ini menjadi lokasi pengunjung atau pendaki untuk melihat keindahan alam dari atas menara serta mengambil gambar,” katanya.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, kemudahan itu diyakini mampu menarik lebih ramai penggemar aktiviti lasak untuk mendaki hingga ke puncak Bukit Gapis.
“Beberapa penambahbaikan fasiliti turut dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pengunjung termasuk pembinaan tandas.
“Dengan penambahbaikan dilakukan diharap Bukit Gapis dapat membangun menjadi lokasi rekreasi dan ekopelancongan ,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

