SUDAH 16 TAHUN BERSARA, ZAID MASIH BERJIWA PENDIDIK

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 21 September – Sudah 16 tahun bersara sebagai guru, namun semangat mendidik dalam diri Zaid Md Saman, 72, masih belum berakhir apabila terus menabur bakti dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

Lebih membanggakan, anak kelahiran Kampung Tanjung Bidara itu masih berkhidmat sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ehya Al-Karim Tanjung Bidara, jawatan yang disandangnya sejak 27 tahun lalu.

Bekas guru Bahasa Melayu cemerlang itu berkata, minatnya terhadap pendidikan tidak pernah terhenti meskipun meninggalkan kerjaya perguruan pada 2010 selepas 33 tahun berkhidmat.

“Saya mula mengajar pada 1978 dan sepanjang 33 tahun itu saya berkhidmat di peringkat sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti sebagai pensyarah sambilan.

“Minat mendidik dan mengajar itu tidak pernah habis. Sampai sekarang saya masih memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Warga Emas Negeri Melaka.

Zaid menerima anugerah berkenaan pada Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa D’Aqua Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, pada Khamis.

Menurut Zaid, sepanjang aktif dalam bidang pendidikan, beliau turut pernah dinobatkan sebagai Tokoh Yang Dipertua PIBG Cemerlang Malaysia yang pertama, selain terlibat dalam pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Namun, sebalik kesibukan menabur bakti kepada masyarakat, Zaid kini turut memikul tanggungjawab besar sebagai penjaga kepada isterinya yang uzur.

“Alhamdulillah ini juga berkat saya menjaga isteri yang sedang uzur, Allah mengurniakan anugerah yang cukup bermakna kepada saya,” katanya.

Beliau kini turut menjadi Penasihat Pertubuhan Kebajikan Amal Syumul Malaysia yang antaranya menyumbangkan al-Quran, buku agama dan kitab ke seluruh negara, selain Ahli Jawatankuasa Lembaga Bahasa Melayu Negeri Melaka serta penulis profesional yang menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post MENARA TINJAU GAMIT ‘HIKERS’ TAWAN PUNCAK BUKIT GAPIS