ENAM KERANGKA MELAKA MEMACU KELESTARIAN ALAM

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 21 September – Komitmen Kerajaan Negeri untuk melestarikan alam sekitar diperincikan menerusi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, pelan itu menetapkan hala tuju Melaka ke arah sebuah negeri yang lebih lestari, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Katanya, berdasarkan kerangka disusun Kerajaan Negeri menggerakkan enam tumpuan utama iaitu pertama menyediakan Laporan Inventori Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG), sekali gus meletakkan Melaka antara negeri terawal yang melaksanakan inventori GHG secara sistematik.

Kedua katanya, Melaka turut memperkasakan sektor tenaga boleh baharu menerusi pembangunan ladang solar di Ayer Keroh, Rembia, Bemban dan Masjid Tanah, secara keseluruhannya berupaya menjana sekitar 102 Gigawatt jam tenaga setahun.

“Insya-Allah, menjelang penghujung tahun 2027, Melaka bakal mempunyai ladang solar hibrid pertama di Melaka yang dibangunkan di Empangan Jus, melibatkan kawasan seluas kira-kira 301.65 ekar. Usaha ini turut diperluas menerusi inisiatif SolarMEL oleh Perbadanan Teknologi Hijau Melaka bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar daripada skala kecil hingga projek berskala besar, termasuk solar bumbung kediaman.

“Ketiga adalah membangunkan projek waste-to-energy Sungai Udang yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun2029 dengan keupayaan memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari dan menjana 22 Megawatt tenaga boleh baharu.

“Keempat pula memperluas pembangunan infratruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik sebagai pemangkin kepada mobiliti hijau dan peralihan ke arah pengangkutan rendah karbon. Sehingga kini, sebanyak 195 unit pengecas kenderaan elektrik telah disediakan di 95 lokasi, dengan 10 unit lagi akan ditambah menjelang penghujung tahun 2026,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; barisan Exco dan Timbalan Exco; Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Malaysia Azuri Azizah Saedon serta kenamaan lain.

Menurutnya kerangka kelima adalah memperkasa ruang hijau seperti Taman Seribu Bunga, SDG Park @ Sungai Melaka, Taman Rekreasi Kampung Felda Air Kangkung dan Taman Kejiranan Pulai Indah

“Sementara itu keenam memelihara khazanah alam menerusi aspirasi Melaka geopark dengan menghubungkan kekayaan geologi, biodiversiti, budaya serta identiti masyarakat dalam satu kerangka pemuliharaan dan pembangunan yang lebih
menyeluruh.

“Usaha kita dalam memperkukuh agenda kelestarian ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Terbaharu, Melaka telah dinobatkan sebagai Pemenang Kategori ‘Living Green for Water’ dalam AIPH World Green City Awards 2026, menerusi Projek Pemulihan Pengindahan Sungai Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post SUDAH 16 TAHUN BERSARA, ZAID MASIH BERJIWA PENDIDIK
Next post PRN MELAKA: ‘JANGAN RUNDING DALAM MEDIA SOSIAL, KITA BUAT SECARA RASMI’ – AB RAUF