PRN MELAKA: ‘JANGAN RUNDING DALAM MEDIA SOSIAL, KITA BUAT SECARA RASMI’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 21 September – Segala rundingan berhubung kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hendaklah dilakukan secara rasmi, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, BN Melaka juga akan mengeluarkan surat rasmi kepada semua parti politik berkenaan bagi membentangkan tawaran kerjasama strategik terbaik masing-masing.

“Saya hormati komitmen pihak berminat untuk bersama-sama dengan kita. Tetapi kita jangan runding di media sosial, nanti akan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak pernah menutup pintu serapat-rapatnya dan tidak buka pintu seluas-luasnya untuk rundingan. Tawaran diberikan akan dibentangkan di semua peringkat, namun apa juga sekalipun tertakluk kepada perbincangan rasmi akan kita buat nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu BN memberikan penjelasan berhubung kemungkinan kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sebelum ini Ab Rauf menyatakan BN Melaka sedia untuk berbincang dan berunding dengan mana-mana parti politik berhubung kemungkinan kerjasama pada PRN Melaka Ke-16 menerusi inisiatif BN Plus.

Namun pada masa yang sama beliau menegaskan BN Melaka akan tetap mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada PRN yang lalu.

Bagi beliau syarat 21 kerusi itu adalah garis sempadan bagi setiap perbincangan yang bakal menentukan hala tuju kerjasama politik.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan pada PRN Melaka ke-15, BN membentuk Kerajaan Negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan dengan lima kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post ENAM KERANGKA MELAKA MEMACU KELESTARIAN ALAM
Next post KOMITMEN ‘HIDUPKAN’ SUNGAI MELAKA DIIKTIRAF AIPH WORLD GREEN CITY AWARDS 2026