Rakyat Bukit Katil sambut ketibaan TYT baharu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat
MOHD Ali bersama isterinya, Asmah melambai ke arah penduduk Bukit Katil yang hadir mereka selepas dikurniakan watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh, hari ini.

 

BUKIT KATIL 4 Jun – Ketibaan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang ke-7, Tun Mohd Ali Mohd Rustam disambut meriah oleh pelbagai golongan masyarakat di perkarangan kediaman beliau di sini, sebentar tadi.

Mohd Ali yang turut diiringi isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman tiba dengan menaiki kenderaan rasmi kerajaan negeri pada jam 5.20 petang dengan disambut dengan paluan kompang disertai kira-kira 100 orang.

Turut hadir mengiringi ketibaan beliau adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sebaik memasuki perkarangan kediaman, Mohd Ali sempat mendekati pintu pagar dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk beramah mesra kira-kira dengan masyarakat tempatan yang hadir memberikan sokongan terhadap perlantikan beliau.

Beberapa minit kemudian, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali menyusul tiba bagi mengadakan pertemuan bersama beliau di kediaman terbabit.

Anak kelahiran Bukit Katil itu dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri penggal yang baharu bagi menggantikan Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob yang menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa hari ini.

Surat cara pelantikan itu diterima Mohd Ali daripada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustai’in Billah di Istana Negara, kira-kira jam 2 petang tadi.

Mohd Ali dijadual mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yassin di Kompleks Seri Negeri pada jam 10 pagi esok.

Views:

534
Kongsi :
Previous post Mohd Ali kini bergelar Tun
Next post Melaka plans to review liquor, alcoholic beverage sale regulations
Ubah saiz-+=