Monodrama Kebaya Tidak Berkerongsang pukau 300 pengunjung
AYER KEROH 15 Oktober – Hampir 300 pengunjung menyaksikan pementasan Monodrama Kebaya Tidak Berkerongsang dan Pertunjukan Fesyen Muzikal di Pentas Utama Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, di sini, malam tadi.
Persembahan pentas itu turut disaksikan Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Siti Faizah Abd Azis; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah JKKN Negeri, Ezlina Elias; Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA), Madelina Kuah dan isteri-isteri Exco Kerajaan Negeri.
Persembahan pentas yang mengangkat pakaian tradisi kebaya itu merupakan anjuran MTA, Pertubuhan Seni Kesidang Seri (PERSIDANG) dan JKKN Melaka.
Karya yang diilhamkan oleh Eri Majid itu merupakan pementasan monolog lakonan solo pelbagai artis terdiri daripada pelbagai kaum menceritakan mengenai kisah kebaya kaum mereka sejak turun temurun.
Pementasan tersebut diselang selikan dengan pelbagai persembahan muzikal yang turut diselitkan maklumat dan nasihat mengenai pakaian tradisi tersebut.
Penonton yang hadir rata-rata turut memakai busana kebaya menyaksikan persembahan pentas tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.