MTA mahu bawa keunikan Melaka ke peringkat lebih tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 15 Oktober –  Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) mahu mengangkat dan mengetengahkan pelbagai keunikan budaya di negeri ini ke peringkat lebih tinggi.

Presidennya,Madelina Kuah berkata langkah itu bermula dengan penganjuran Festival Kisah Kebaya yang mana intipatinya mengenai budaya pemakaian pakaian tradisi kebaya sejak bergenerasi lamanya.

Katanya, selepas mengangkat pakaian tradisi kebaya, beliau mahu mengetengahkan pemakaian dan pembuatan kasut manik yang terkenal dalam kalangan peranakan Baba Nyonya.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada peruntukan yang diterima menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kita juga bercadang mahu mengangkat pelbagai acara berlainan melibatkan keunikan budaya di Melaka secara holistik membabitkan semua kaum di negeri ini.

“Dan kita berharap jika Kerajaan Negeri boleh memberi kepercayaan kepada MTA dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) atau Tourism Melaka untuk melaksanakan acara yang mengangkat budaya Melaka ini menjadi acara tahunan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Pementasan  Monodrama Kebaya Tidak Berkerongsang dan Pertunjukan Fesyen Muzikal di Pentas Utama Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini malam tadi.

7656a323-65a7-476d-a506-15703725d316
Presiden MTA,Madelina Kuah

Mengulas lanjut, Madelina berkata pihaknya akan membuat permohonan GSSK kepada MOTAC pada tahun hadapan untuk melaksanakan program seumpama itu dengan berskala besar.

“Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kita di peringkat MTA turut tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama mengangkat keunikan budaya di Melaka.

“Hanya di Melaka sahaja kita dapat lihat pelbagai keunikan dari budayanya, seperti Portugis, Chetti, Jawa, Baba Nyonya serta tiga kaum majoriti Melayu, India dan Cina bersatu dalam bentuk makanan, pakaian dan praktikal budaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1426
Kongsi :
Previous post Monodrama Kebaya Tidak Berkerongsang pukau 300 pengunjung
Next post JKKN Melaka cadang ‘berkebaya’ pada setiap acara rasmi
Ubah saiz-+=