Moratorium: Wang bulanan kepada bank dijadikan tabung kecemasan

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KRUBONG 30 Jun- Moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat yang diumumkan kerajaan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) disambut baik oleh golongan peminjam di Melaka.

Pengusaha Bengkel, Muhammad Asyraf A.Rahim berkata, wajar moratorium tersebut diberikan kepada golongan peminjam yang terjejas bagi tujuan meringankan beban kewangan mereka dalam tempoh pandemik ini.

“Sebagai pemilik bengkel yang mempunyai pinjaman bank, saya berpendapat wajar moratorium ini diteruskan dan duit bayaran bulanan itu boleh digunakan sebagai wang kecemasan memandangkan musim pandemik ini ramai yang terkesan kerana Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap bulan hampir RM2,000 dibayar untuk pinjaman bank dan dicampur pinjaman kereta, keseluruhan hampir RM3,500 dapat saya gunakan sebagai tabung kecemasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

ROSIDAH.

Pemilik Kedai Runcit, Rosidah Abdul Laman juga senada dan menjelaskan dia memilih untuk mengambil moratorium selama enam bulan dan melihat langkah kerajaan itu wajar dimanfaatkan oleh golongan yang terkesan.

Katanya, dia berdepan dengan pelbagai faktor menjejaskan perniagaan runcitnya dalam tempoh PKP selain membuat moratorium terhadap pinjaman kereta.

“Bagi saya ambil moratorium ini ada kesan baik dan kesan buruk…kesan baiknya apabila saya tidak perlu untuk membayar secara bulanan bagi tempoh enam bulan dan mampu untuk menggunakan duit tersebut sebagai duit kecemasan.

“Kesan buruk, meskipun difahamkan tiada faedah tambahan dikenakan kepada peminjam daripada bank, namun tempoh pembayaran kepada bank akan dipanjangkan dan kereta saya hanya tinggal dua tahun sahaja lagi untuk dihabiskan pembayaran pinjaman.

“Moratorium ini perlu diambil bagi golongan terjejas untuk membayar pinjaman, jika mampu janganlah ambil kerana apa jua tindakan yang diambil akan memberi kesan,” katanya.

MUHAMMAD Nizam.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Nizam Sapian, beranggapan peminjam perlu ‘berfikir panjang’ untuk mengambil moratorium bank.

Katanya, dia yang perlu menanggung pembayaran ansuran kereta bapanya dan perlu membayar pinjaman rumah masih berfikir untuk mengambil moratorium kerana tidak mengambilnya sebelum ini.

“Selagi saya mampu untuk membayar kesemua pinjaman kepada bank, saya memilih untuk tidak mengambil moratorium tersebut kerana baki pinjaman kereta yang ditanggung sudah hampir habis dan saya ingin segera menamatkan pembayaran.

“Manakala bagi pembiayaan bulanan pinjaman rumah masih diteruskan secara bulanan kerana masih mampu untuk membayarnya.

“Namun saya berpendapat langkah itu (pemberian moratorium) bagus untuk diambil kepada golongan yang memerlukan wang untuk enam bulan yang mendatang,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post Befrienders terima 30 panggilan tekanan emosi setiap hari
Next post Terjejas akibat COVID-19, Hotel Istana Kuala Lumpur umum tutup operasi 1 Sept
Ubah saiz-+=