Befrienders terima 30 panggilan tekanan emosi setiap hari

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Befrienders Malacca sedia memberi khidmat sokongan percuma bagi mereka yang mengalami tekanan emosi khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Pengerusinya, Yap Wei Ping berkata, ditubuhkan sejak tahun 1990, pihaknya sehingga kini menerima lebih 30 panggilan setiap hari serta berdepan pelbagai ragam dan emosi si pemanggil.

WEI Ping.

“Servis kita sediakan sebenarnya untuk memberi sokongan emosi kepada orang awam.

“Pada masa sama fokus utama kita adalah individu yang mengalami tekanan dan tidak ada tempat untuk meluahkan perasaan sehingga ada yang membuat keputusan untuk cuba membunuh diri sebagai jalan penyelesaian.

“Jadi sebagai NGO kami berharap orang awam gunakan khidmat kami untuk dapatkan sokongan emosi dengan berkongsi pelbagai masalah dihadapi,” katanya ketika dihubungi MHI.

Wei Ping berkata, tahun lalu sahaja pihaknya menerima 3,645 panggilan telefon meliputi pelbagai masalah emosi.

“Ada yang telefon sebab alami masalah kewangan, ada yang sudah punyai jalan penyelesaian tapi mahukan sokongan dari kita.

“Macam-macam emosi dan masalah yang kita dengar daripada pemanggil dan ada juga yang bercakap sambil menangis,” katanya lagi.

Katanya setakat ini Befrienders Malacca mempunyai 25 sukarelawan yang terlatih untuk mengawal emosi pengadu.

“Sukarelawan kita berumur 20 hingga 60 tahun, mereka akan jalani latihan selama lapan minggu supaya benar-benar memahami cara mengawal emosi seseorang individu itu.

“Waktu operasi ‘hotline’ kita dari jam 7 petang hingga 12 tengah malam, mereka boleh rujuk di Facebook rasmi Befrienders Malacca atau hubungi nombor di talian 06-2250791,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post Lebih 8 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam
Next post Moratorium: Wang bulanan kepada bank dijadikan tabung kecemasan
Ubah saiz-+=