MOTAC giat usaha bantu industri pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 4 Nov. – Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka komited menggiatkan usaha membantu pemain industri pelancongan kembali bangkit memulihkan sektor berkenaan selepas pandemik COVID-19 berakhir nanti.

Pengarahnya, Yeow Chin Chai berkata, antara usaha yang dijalankan buat masa ini ialah mengadakan sesi dialog secara berterusan dengan semua yang terlibat bagi mendengar permasalahan, selain memikirkan cara untuk membantu.

“Kita sentiasa mendengar apa jua permasalahan dan hasrat yang dilontarkan daripada pihak persatuan kepada pihak persatuan.

“Dari semasa ke semasa kita akan terus mengadakan mesyuarat, perjumpaan dan sesi dialog bersama penggiat industri untuk kita membantu membangunkan semula sektor pelancongan pasca COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Libat Urus MOTAC dan Melaka Hari Ini (MHI) bersama Persatuan-Persatuan Pelancongan Melaka di Bangunan MOTAC, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MHI Anuar Shaari dan 50 wakil Persatuan-persatuan Pelancongan Melaka.

Dalam sesi libat urus itu, MHI telah memperkenalkan tawaran promosi pengiklanan kepada pemain industri pelancongan negeri ini untuk mempromosikan pakej-pakej pelancongan mereka kepada orang ramai.

Chin Chai berkata, pakej pemasaran dan promosi yang diperkenalkan itu sangat penting kepada pengusaha hotel, inap desa dan agensi pelancongan di negeri ini dalam usaha menarik semula kehadiran pelancong domestik ke negeri ini.

Ujarnya, melalui penganjuran tersebut, diharap semua persatuan yang ada di Melaka dapat bersatu dan berganding bahu menggiatkan aspek promosi bagi melihat sektor pelancong kembali berkembang.

Views:

1287
Kongsi :
Previous post COVID-19: “Pelanggan kini lebih berhati-hati” – peniaga
Next post Banjir kilat: Tiada PPS dibuka di Gadek
Ubah saiz-+=