MoU MHI dan Bernama bantu tingkatkan ekonomi Melaka
AYER KEROH 28 Dis – Kerjasama antara Melaka Hari Ini Sdn Bhd (MHISB) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi memorandum persefahaman (MoU) dilihat membantu kerajaan negeri meningkatkan ekonomi serta pelancongan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya amat mengalukan-alukan jalinan kerjasama yang pastinya akan memberikan perkongsian lebih banyak berita tentang Melaka di peringkat nasional.
Beliau berkata, kerjasama antara MHI dan Bernama juga akan membabitkan perkongsian, pertukaran berita, visual dan latihan kewartawanan selain membantu untuk pendidikan media.
“Jadi saya berharap kerjasama ini akan memberi lebih banyak berita yang boleh dikongsikan memandangkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan selain kita juga banyak perancangan dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 untuk diketengahkan.
“Saya juga berharap dengan ini Melaka lebih dikunjungi oleh pelancong dan pelabur luar, inilah tujuan MoU ditandatangani agar kedua-dua pihak dapat memberi kerjasama baik dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) tersebut bersama Pengerusi Bernama Senator Ras Adiba Radzi di Pejabat Ketua Menteri Melaka, di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.
MoU tersebut meliputi kerjasama dalam pertukaran berita, latihan kewartawanan serta rakan perkongsian strategik.
Sementara itu, Mokhtar berkata, MoU yang terjalin ini bukan sahaja dapat membantu menghebahkan maklumat berkaitan Melaka di Malaysia bahkan ke luar negara ini kerana Bernama mempunyai rangkaian dengan agensi media di luar negara termasuk asia barat, China serta Indonesia.
“Walaupun Melaka sebuah negeri kecil tetapi banyak peluang kerjasama terutama kepada ekonomi dan pelancongan selain kami lihat Melaka juga mempunyai satu perancangan jangan panjang yang besar membina zon pertumbuhan ekonomi.
“Kami Bernama berpendapat dapat membantu menghebahkan maklumat ini bukan sahaja berbentuk berita tetapi program berbentuk ekonomi selain apa-apa aktiviti yang baik untuk ekonomi kita akan kongsikan bersama secara meluas kerana kita mempunyai platform seperti Bernama TV, Bernama Radio serta digital media,” katanya.
Bagi Abdul Jalil pula, MoU ini dilihat akan membawa MHI ke peringkat lebih tinggi selaras dengan 40 tahun usianya.
“Saya lihat MoU hari ini yang disaksikan Ketua Menteri selaras dengan strategi untuk membawa MHI ke peringkat lebih tinggi iaitu nasional supaya dapat berkembang selaras dengan usaha membesarkan lagi MHI.
“Cara terbaik saya rasa melalui kerjasama ‘win-win strategik partnership’ dengan jenama media yang besar iaitu Bernama. Saya lihat ini akan memberi sama-sama peluang termasuk juga kepada kakitangan MHI untuk menimba ilmu berkaitan media serta untuk mendapatkan latihan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.