Sorting by

×

MPHTJ sasar pasang 500 CCTV menjelang 2030

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya menyasarkan untuk memasang 500 kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan pentadbirannya menjelang tahun 2030.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, sasaran itu ditetapkan bagi memastikan agenda bandar pintar rendah karbon dapat dicapai.

Menurutnya, setakat tahun ini, sebanyak 25 CCTV telah dipasang sekitar Hang Tuah Jaya, di mana kesemua kamera itu akan berintegrasi dengan empat ‘Smart Low Carbon City Dashboard’ yang telah dilancarkan.

“Empat dashboard ini merangkumi ‘smart street lighting’, ‘smart environment’, ‘smart surveilance’ dan ‘smart mobility’.

“Setiap dashboard ini mempunyai fungsi tersendiri yang mana MPHTJ boleh melihat sendiri keadaan semasa (realtime) di sesuatu kawasan seperti contoh keadaan trafik, cuaca dan lain-lain.

“Antara lokasi di bawah pentadbiran MPHTJ yang telah dipasang teknologi ini ialah seperti di Taman Merdeka, Malim, Taman Botanikal Melaka dan Dataran Sejarah Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas pelancaran Smart Low Carbon City Dashboard yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, menerusi dashboard itu juga, MPHTJ turut merangkumkan elemen tiang lampu pintar di kawasan Hang Tuah Jaya.

Menurutnya, buat masa ini sebanyak 56 lampu pintar telah dipasang yang di seluruh kawasan Hang Tuah Jaya, yang mana selain elemen menerangi jalan, ia juga boleh menjimatkan kos.

“Selain itu dari sudut persekitaran pula, teknologi Smart Low Carbon City Dashboard ini boleh membantu memantau keadaan cuaca seperti contoh indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan terlibat.

“Manakala dari sudut pengawasan dan mobiliti pula, kita boleh memantau aspek keselamatan selain ia juga boleh merakam serta mengira jumlah kenderaan yang memasuki sesuatu kawasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1265
Kongsi :
Previous post 15,000 berhimpun meriahkan HSNM2023
Next post Melaka negeri perintis ekosistem digital
Ubah saiz-+=