15,000 berhimpun meriahkan HSNM2023
BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – Seramai 15,000 peserta dijangka berhimpun di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Sabtu ini bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara Melaka 2023 (HSNM2023).
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, selain MITC sebagai veneu utama HSNM2023 menyediakan 43 acara sukan itu turut berlangsung di tiga lagi lokasi lain di semua daerah di Melaka.
Katanya, penyertaan HSNM2023 membabitkan pelbagai peringkat usia bermula daripada kanak-kanak hinggalah dewasa dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pengajuran HSNM2023 boleh dianggap sebagai yang terbesar berbanding sebelum ini apabila turut menggabungkan Melaka Sport League (MSL). Perasmian pada Sabtu nanti akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Selain itu beberapa atlet lagenda ternama berasal dari Melaka yang pernah mengharumkan nama negara juga dijangka akan membuat penampilan pada hari berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Apa Khabau YB di Melaka FM, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, selain sukan utama seperti bola jaring, bola baling dan bola sepak, turut akan dipertandingkan adalah e-sport Piala Ketua Menteri, sukan ekstrem, Fun Walk, Fun Ride.
Jelasnya elemen tradisional turut diambil kira apabila sukan seperti dam aji, baling selipar, ceper dan tembak getah juga dipertandingkan.
“Apa yang menariknya HSNM2023 turut membabitkan penyertaan orang kurang upaya (OKU) menerusi kategori Pesta Sukan Integrasi OKU Aktif dengan mempertandingkan Netball Shoot Out OKU, Penalty Shoot Out OKU dan juga Dart OKU.
“Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian, individu atau bersama keluarga. Malah pada malam Jumaat juga kita akan mengadakan tayangan ‘big screen’ perlawanan bola sepak sempena Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India pada jam 9 malam,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan sukan yang akan membabitkan Adun Negeri Melaka, beliau berkata, ianya adalah satu cabaran baharu dan akan memperincikan cadangan penganjuran itu.
“Saya lihat ini adalah satu cabaran baharu, mungkin kita boleh lihat dan pada tahun akan datang wakil-wakil rakyat juga turut hadir dan bersukan dalam pertandingan yang dianjurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.