Jenayah komersil tahun ini tunjuk trend meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kes jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan tahun ini berbanding tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata berdasarkan statistik JSJK, kes jenayah komersial untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini ialah 30,992 kes, lebih tinggi daripada jumlah kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas iaitu 30,536.

“Peningkatan kes jenayah komersial ini dipercayai akibat masalah ekonomi yang dihadapi sekarang dan angka kes pada tahun ini mungkin melonjak melepasi jumlah pada 2021 yang merekodkan 31,388 kes,” katanya pada sidang media selepas melancarkan konvoi Kapcai Ride Anti Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata kerugian melibatkan jenayah komersial pada sembilan bulan pertama tahun ini adalah RM1.6 bilion dengan kes penipuan merekodkan jumlah keseluruhan paling tinggi iaitu RM1.24 bilion diikuti pecah amanah RM310.18 juta dan jenayah siber RM31.14 juta.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama juga penipuan dalam talian mencatatkan 19,220 kes dengan jumlah kerugian RM687.6 juta dengan kerugian paling tinggi melibatkan pelaburan tidak wujud iaitu RM277.2 juta.

Ramli berkata orang ramai dinasihatkan berhati-hati sebelum melakukan sebarang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan.

“Slip bank yang didakwa sebagai bayaran dividen pelaburan juga boleh dipalsukan, jadi orang ramai perlu berhati-hati, periksa dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melabur untuk mengetahui pelaburan berkenaan wujud atau tidak, sah atau tidak,” katanya.

Konvoi selama dua hari itu disertai 65 orang yang akan menunggang motosikal ke Cameron Highlands, Pahang dan mengadakan kempen kesedaran antiscam kepada orang ramai.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Belajar automotif bukan sekadar untuk jadi ‘pomen’ kereta
Next post 15,000 berhimpun meriahkan HSNM2023
Ubah saiz-+=