MPHTJ teruskan insiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 24 Nov – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyahut seruan kerajaan negeri meneruskan inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’ bagi membantu peniga-peniaga kecil di negeri ini menjana pendapatan.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, bagaimanapun setakat hari ini jumlah bayaran lesen yang dikenakan bagi setiap peniaga adalah kekal iaitu sebanyak RM45 sebulan.

“Seperti kita dengar hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebelum ini, ia merupakan janji kerajaan negeri yang mana kerajaan sekarang yang akan meneruskan perlesenan penjaja-penjaja ini.

“Jadi MPHTJ menyahut seruan kerajaan negeri untuk meneruskan atau memudahkan peniaga berniaga, syaratnya peniaga mesti mengikut tiga prosedur iaitu menjaga kesihatan, keselamatan dan kebersihan di kawasan niaga,” katanya dalam satu wawancara bersama media, hari ini.

Jelasnya, tiga perkara itu menjadi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khusus untuk para peniaga yang ingin meneruskan perniagaan.

“Satu adalah keselamatan yang mana tidak menghalang jalan raya dan sebagainya, kedua kesihatan mestilah mengambil suntikan tifoid (terhindar dari sebarang penyakit) dan ketiga kebersihan dengan memastikan kawasan niaga itu sentiasa kemas selepas berniaga,” katanya.

Ujarnya setakat hari ini tiada peniaga yang telah dikenakan kompaun kerana ingkar atau melanggar SOP yang ditetapkan.

“Setakat ini belum ada yang kena kompaun lagi, tetapi kita pernah memberi notis teguran kepada mereka yang ingkar, alhamdulillah bila kita keluarkan notis teguran, mereka dengar dan mereka ambil tindakan selepas diberi teguran itu,” katanya lagi.

Sebelum ini Sulaiman memberi jaminan akan meneruskan inisiatif Melaka Bebas Berniaga pada tahun hadapan sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memimpin Negeri Melaka.

Beliau berkata, pelbagai perancangan demi kesejahteraan telah dirangka sebelum ini, namun ia tergendala susulan kekecohan politik yang berlaku di negeri ini yang memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak: GPS umum senarai penuh calon 4 Dis – Abang Johari
Next post Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal – Khairy
Ubah saiz-+=