
MPJ KOMITED TANGANI ISU HAIWAN TERBIAR SECARA HOLISTIK
JASIN 28 Julai – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) komited memupuk kesedaran komuniti setempat berhubung pemilikan haiwan peliharaan dan terbiar secara bertanggungjawab dalam komuniti menerusi Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar Tahun 2025 Peringkat MPJ.
Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, kempen anjuran Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sebagai simbol komitmen ke arah kesejahteraan bersama antara manusia dan haiwan.
Bertemakan ‘Anjing Terbela, Komuniti Bahagia’, Muhammad Zahiruddin berkata kempen itu juga membantu pihaknya dalam usaha mengurus haiwan terbiar secara beretika.
“Kempen ini merupakan inisiatif relevan dan tepat pada masanya dalam mendepani cabaran isu haiwan terbiar khususnya anjing liar semakin menuntut perhatian, tindakan holistik serta berperikemanusiaan.
“Ia merupakan mesej yang jelas dan signifikan kerana hal melibatkan haiwan terbiar bukan hanya isu kebajikan haiwan tetapi juga menyentuk aspek kesihatan awam, keselamatan komuniti dan keharmonian kejiranan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara pengisian menarik sepanjang kempen termasuklah pemeriksaan kesihatan haiwan secara percuma menerusi klinik bergerak, sesi vaksinasi, konsultasi pelesenan, bual bicara bertajuk ‘Anjing & Kawalan: Cegah Hari Ini, Selamat Esok’ serta program bersama komuniti setempat.
Tambahnya, kempen itu menyokong dasar strategik TRAP – RECLAIM – REHOME – DISPOSE (TRRD) yang diperkenalkan KPKT sebagai pendekatan mampan dan beretika dalam menangani isu haiwan terbiar.
“MPJ turut menyatakan keyakinan bahawa melalui penglibatan aktif komuniti, aduan berkaitan kacau ganggu haiwan terbiar dapat dikurangkan selain dapat meningkatkan kesedaran awam tentang tanggungjawab bersama.
“Pemerkasaan komuniti amat penting bagi mewujudkan ekosistem yang lebih prihatin, tersusun dan bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan serta keselamatan awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.