MPJ pantau binaan struktur tanpa kebenaran

Masa Membaca:56 Saat

JASIN 31 Oktober – Pihak yang merancang untuk membina kediaman atau sebarang struktur dinasihatkan supaya memohon permit kebenaran sebelum meneruskan sebarang pembinaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Rosemanizam Mohammed Nalif berkata, permohonan permit itu perlu dibuat bagi mengelakkan daripada pemilik premis ataupun kediaman berkenaan daripada dikenakan tindakan tegas.

“Oleh itu orang ramai khususnya penduduk Jasin diingatkan agar memohon kebenaran terlebih dahulu. Jabatan Kawalan Bangunan menjalankan pemantauan terhadap pembinaan tanpa kelulusan atau kebenaran termasuk juga pembaharuan permit di dalam kawasan pentadbiran MPJ.

“Ini bagi memastikan setiap binaan atau pembinaan yang berlangsung mendapat kebenaran, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku atau mengganggu penduduk setempat,” katanya.

Menurut beliau, hasil pemantauan dijalankan pihaknya, sebanyak 262 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

“Setiap permohonan yang lengkap diterima akan diproses mengikut jenis pembinaan yang dirancang dalam masa lima hingga 14 hari sebelum permit kebenaran dikeluarkan.

“Mereka yang gagal membuat permohonan atau mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70 (1)(2)(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1608
Kongsi :
Previous post ROS salur geran RM6.674 juta sejak 2013
Next post Program berteraskan kerohanian warnai TMM2024
Ubah saiz-+=