MT UMNO bermesyuarat Khamis bincang PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KLEBANG 10 Okt. – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bermesyuarat pada Khamis depan khusus bagi membincangkan situasi politik Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali akan membentang dan melaporkan cadangan terhadap apa yang perlu dilakukan parti itu.

Menurutnya, setakat ini, keputusan bagi menentukan calon mahu pun kerusi yang disandang belum diputuskan pihaknya.

“Pada hari Khamis malam Jumaat itu nanti, kita akan membincangkan perkara khusus tentang Melaka dan tentunya Pengerusi (Ab Rauf) akan melaporkan kepada gerak kerja tertinggi.

“Tentunya presiden, timbalan presiden dan naib presiden termasuk perdana menteri akan memberikan pandangan mengenai situasi politik Melaka sehingga selesai majlis itu jika ada pertanyaan yang belum lagi dimuktamadkan.

“Jadi, bagaimana keputusan tentang kerusi dan calon semua belum, (masih) dalam perundingan dan tidak ada yang dimuktamadkan lagi. Ia akan dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perjumpaan bersama Pemimpin UMNO negeri diadakan di Klebang, malam tadi.

Hadir sama, Ab Rauf, Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ketika ditanya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau berkata keputusan itu bukan di tangan Presiden sebaliknya memerlukan perbincangan antara MKT.

“Beliau tidak membuat keputusan seorang, tentulah kita berbincang dalam MKT,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan ia tidak akan mengganggu Persidangan Cawangan UMNO.

“Mesyuarat ini diadakan dalam satu bulan setengah, jadi ia tidak mengganggu sebab ia bermula pada 15 Oktober sehingga 30 November.

“Jadi, masanya panjang untuk mesyuarat itu dan peringkat Cawangan UMNO diberikan pilihan untuk mengadakan mesyuarat mengikut tarikh yang sesuai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

672
Kongsi :
Previous post Polis jalankan pemeriksaan rawak di kawasan tumpuan- KPN
Next post Terima kasih ‘frontliner’- Kamel
Ubah saiz-+=