MTSFB jaga standard pembangunan telekomunikasi digital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat
DURIAN TUNGGAL 23 Oktober – Kerjasama antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) bakal memperkemaskan lagi pembangunan infrastruktur komunikasi digital di negeri ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, MTSFB merupakan badan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang boleh mengesahkan standard teknologi telekomunikasi, sekali gus menjadi sumber rujukan.
Katanya, MTSFB mampu memainkan peranan dalam membantu Kerajaan Negeri memperhalusi usaha dan perancangan dalam memacu pencapaian Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.
“Difahamkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menggunakan khidmat MTSFB sebagai rujukan bagi pembangunan teknologi telekomunikasi digital di sana.
“Kita akan jalinkan kerjasama erat dengan MTSFB selepas ini dan menjadikan agensi itu sebagai sumber rujukan. Kerjasama kedua-dua pihak itu juga dianggap sebagai antara langkah untuk memakmurkan lagi bidang teknologi dan komunikasi di Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kesedaran Kod Teknik di Kampus Induk UTeM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Madya Ir. Dr. Md Nazri Othman yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE-UTeM Melaka dan Ketua Pegawai Eksekutif MTSFB, Normarinee Mohd Nor.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata Kerajaan Negeri akan merujuk beberapa projek melibatkan teknologi digital kepada MTSFB untuk mendapatkan garis panduan pembangunan.
“Antara projek yang akan dirujuk adalah Smart City, Internet Of Things (IoT), 5G dan Smart Pole.
“Saya juga merancang untuk menghantar wakil-wakil agensi daripada Melaka ICT Holdings (MICTH), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa lagi yang terbabit untuk berkursus di MTSFB dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1460
Kongsi :
Previous post Ladang sawit terbakar, bomba giat padam kebakaran
Next post Konflik Palestin-Israel: Pasukan MALBATT 850-10 di Lubnan selamat – Panglima ATM
Ubah saiz-+=