Sorting by

×

MUAFAKAT ASEAN KUNCI KESTABILAN SERANTAU – PM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR, 9 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kekuatan ASEAN terletak pada keunikan, kepercayaan serta muafakat kukuh yang dibina sesama pemimpin negara anggota, sekali gus mengekalkan kestabilan geopolitik.

Jelasnya, ia sekali gus menjadikan ASEAN sebagai antara rantau paling aman dan dinamik di dunia dengan potensi besar menarik pelaburan global.

“ASEAN adalah rantau unik, aman dan dinamik dengan potensi besar menarik pelaburan. Walaupun dunia berdepan cabaran kompleks, kita mampu mengharunginya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan berasaskan kepercayaan.

“Kita juga perlu kekal komited walaupun terdapat isu sempadan antara Thailand dan Kemboja, namun syukur ia kini dapat dikekalkan melalui proses keamanan yang dihormati kedua-dua pihak.

“Justeru, kita mesti berdiri teguh sebagai komuniti dengan tanggungjawab bersama,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 dan Mesyuarat Berkaitan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu ketibaan Perdana Menteri disambut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; barisan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.

Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan Menteri-Menteri ASEAN serta delegasi negara serantau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini telah menganjurkan ratusan acara melibatkan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh hubungan serta komitmen serantau.

Tambahnya, pentingnya perkongsian maklumat risikan, penguatkuasaan yang terkoordinasi serta kerangka undang-undang yang seragam dalam membina daya tahan bersama.

“Keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik, tetapi juga mesti hadir bersama keadilan, kestabilan dan saling menghormati.

“ASEAN perlu memastikan tiada negara anggota yang tertinggal dalam mengejar keselamatan serta kestabilan. ASEAN telah membuktikan komitmen terhadap dialog, kerjasama dan konsensus selama lebih enam dekad dan prinsip itu mesti dipertahankan bagi menjamin keamanan serta kemakmuran berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji Melaka sebagai destinasi pelancongan utama yang mencerminkan keunikan budaya, kekuatan ekonomi dan warisan rantau ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post BANTUAN PERSEKOLAHAN GALAK ANAK ORANG ASLI CEMERLANG AKADEMIK
Next post MELAKA CONTOH NEGERI PELANCONGAN HEBAT, DESTINASI SELAMAT – PM