Mudir, warden disyaki lakukan amang seksual, dera pelajar tahfiz

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Mudir dan warden sebuah pusat tahfiz di daerah Melaka Tengah ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian amang seksual dan penderaan kepada pelajar di pusat terbabit.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang juga warganegara Singapura berusia 40 dan 36 tahun yang juga adik-beradik itu ditahan pada jam 1.00 dan 1.30 tengah hari tadi selepas pihaknya menerima enam laporan polis.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz itu yang berusia antara 13 hingga 15 tahun di Balai Polis Batang Tiga.

“Berdasarkan laporan dibuat, tiga daripada pelajar mendakwa mereka dicium, disuruh menghisap dan mengurut kemaluan oleh mudir pusat tahfiz berkenaan.

“Manakala tiga lagi murid pula mendakwa mereka didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden yang juga adik kepada mudir kerana tidak melakukan kerja yang disuruh.

“Susulan daripada itu, tangkapan ke atas kedua-dua suspek dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Menurut beliau, kejadian itu dikatakan berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu di pusat tahfiz itu yang terletak di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah serta di sebuah kondominium yang terletak di Klebang.

“Menurut mangsa kejadian telah berlaku beberapa kali sebelum ini dan kali terakhir ialah pada 7 Mei lalu.

“Hasil siasatan mendapati mudir yang juga pengasas pusat tahfiz itu pernah mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan seksual kanak-kanak pada 2019 lalu, manakala warden tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4010
Kongsi :
Previous post PEDi Chabau lahirkan 40 usahawan kampung
Next post Selesaikan isu projek gajah putih sebelum TMM2024
Ubah saiz-+=