Mufti minta tingkat pematuhan SOP di Bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 16 April – Mufti negeri Datuk Wira Abdul Halim
Tawil hari ini meminta rakyat, terutama umat Islam meningkatkan penjagaan Prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan.

Katanya, SOP di bazar Ramadan tidak akan berjaya tanpa komitmen penuh pengguna yang menjadi faktor dominan dalam operasi perniagaan.

Abdul Halim berkata, pengguna harus lebih komited dalam menjaga jarak fizikal satu meter, memakai pelitup muka dan sentiasa membuat pertimbangan bijak untuk masuk ke tempat yang sudah sedia ramai dengan pelanggan atau sebaliknya.

PENGUNJUNG harus sentiasa mematuhi SOP ketika berbelanja di bazar Ramadan bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19.

“SOP yang pertama ialah pihak penganjur harus memeriksa suhu badan pengguna, selain menyediakan tempat imbasan MySejahtera, mencatatkan nama pengguna dan nombor telefon.

“Penganjur juga harus menyediakan laluan masuk dan laluan keluar yang teratur, kalau boleh biarlah laluan itu sehala tetapi yang paling utama ialah pengguna itu sendiri yang harus menjaga SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual penyampai radio Melaka FM dalam segmen Bicara Mufti yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka hari ini.

Katanya, pengguna juga tidak seharusnya rambang mata yang dipercayai menyebabkan mereka menghabiskan masa terlalu lama di bazar berkenaan dan segera beredar selepas membeli juadah bagi mengurangkan kesesakan.

Katanya, bagi peniaga, mereka harus sentiasa mengingatkan pengguna agar menjaga jarak fizikal dan mencuba sedaya upaya untuk melakukan urusan membungkus makanan dipesan pelanggan dengan segera.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan membatalkan bazar Ramadan di lokasi yang penganjurnya didapati gagal memastikan pengguna dan peniaga mematuhi SOP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post Mangsa kebakaran bersyukur rumah baru akan dibina
Next post Penuntut Nigeria didakwa tipu guru besar RM141,262 berhubung harta pusaka
Ubah saiz-+=