Muhammad Haiqal kempunan beraksi di Kazakhstan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LUMPUR 17 Jun – Jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tidak boleh beraksi pada Kejohanan Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan dari 19-20 Jun ini.

Muhammad Haiqal, yang disahkan positif COVID-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat Sepang Isnin lalu, mengakui impiannya serta usaha kerasnya berlatih sebelum ini untuk membuat catatan peribadi terbaik bagi musim ini di Kazakhstan berkecai selepas dijangkiti virus berkenaan.

“Mungkin ada hikmah semua ini, jadi saya reda dan terima dengan hati terbuka serta ujian Allah SWT kepada saya. Saya tidak tahu dari mana saya dijangkiti COVID-19 tetapi keadaan saya ketika ini baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau kini menjalani kuarantinnya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, bermula kelmarin.

Muhammad Haiqal Hanafi catat kepantasan 10.35 saat pada Sukan SEA 2019.

Selain Muhammad Haiqal, seorang lagi jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan turut dihalang ke Kazakhstan selepas menjadi kontak rapat walaupun keputusan ujian calitannya negatif virus berkenaan.

Muhammad Haiqal dan Khairul Hafiz merupakan atlet olahraga yang mengikuti sesi latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor sejak pertengahan Ramadan lalu di bawah bimbingan jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim.

Muhammad Haiqal dijangka beraksi dalam acara 100 meter (m) manakala Khairul Hafiz pula bersaing untuk 200m pada kejohanan berkenaan.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan hanya lapan atlet yang akan mewakili negara pada kejohanan tersebut iaitu Lee Hup Wei (lompat tinggi), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Connie Chu (lempar cakera), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Jonathan Nyepa (100m) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar) dan Muhammad Ilham Suhaimi (400m).

Menceritakan kembali pengalamannya, Muhammad Haiqal mendakwa kesemuanya bermula gara-gara kesilapan pegawai perhubungannya yang tidak memeriksa e-mel ujian calitan dilakukannya pada pagi Isnin.

Setibanya di KLIA, beliau terkejut selepas ditahan polis bantuan apabila didapati positif COVID-19 sehingga diarah menunggu di luar KLIA sehingga enam jam sebelum dihantar pulang ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil untuk menjalani tempoh kuarantin.

“Saya tidak mahu salahkan pegawai berkenaan, mungkin beliau terlepas pandang,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau memohon bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk membawa beliau kembali menjalani kuarantin di MSN Bukit Jalil agar dapat menjalani latihan di bilik kuarantin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post 27 daripada 5,574 calon STAM 2020 peroleh gred 10 mumtaz
Next post Aplikasi ada unsur eksploitasi kanak-kanak dikekang
Ubah saiz-+=