Murid, pelajar Melaka terima BAP sebelum cuti penggal

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Seramai 132,000 murid dan pelajar di negeri ini akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 secara berperingkat sebelum cuti penggal persekolahan akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Azman Adnan berkata, BAP akan disalurkan kepada 321 buah sekolah membabitkan murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima.

Jelasnya, Negeri Melaka menerima peruntukan BAP berjumlah RM20.6 juta dan sudah mula diagihkan kepada penerima secara berperingkat sejak 11 Januari lalu.

“Setiap murid dan pelajar berkenaan akan menerima BAP berjumlah RM150 setiap seorang, kita akan pastikan peruntukan ini sampai kepada mereka yang layak.

“Seperti diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kita akan pastikan nilai bantuan ini akan diterima terus secara keseluruhan (penuh) dan tidak akan ada potongan dalam agihan BAP.

“Insya-Allah menerusi bantuan ini akan meringankan bebanan ibu bapa atau penjaga untuk menampung keperluan anak-anak mereka bagi kemasukan sesi akademik baharu menjelang Mac depan,” katanya.

Beliau demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademik 2024 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Program itu telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengurus Besar Tapem, Abdul Aziz Baba serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1227
Kongsi :
Previous post Teman tema air Melaka pecah rekod
Next post Syarikat penerbangan diberi insentif bantu Tourism Malaysia
Ubah saiz-+=