Teman tema air Melaka pecah rekod

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Taman Tema Air Melaka di Ayer Keroh melakar sejarah dalam negara selepas menerima dua pengiktirafan ‘The Malaysia Book of Records (MBOR)’ menerusi penganjuran festival cahaya.

Penganjuran festival cahaya sejak 15 Disember lalu telah melayakkan taman tema air itu menerima pengiktirafan berkenaan bagi kategori Penganjuran Acara Pencahayaan Pertama di Taman Tema Air (First Lighting Event in Water Theme Park) dan Penganjuran Acara Pencahayaan Terbesar di Taman Tema Air (Largest Lighting Event in Water Theme Park).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu merupakan satu pengiktirafan bermakna buat Melaka dan mampu membantu melonjakkan industri pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pembangunan taman tema ini telah berjaya mencipta satu lagi produk pelancongan Taman Tema Air di negeri Melaka yang setanding dengan taman tema air terkemuka di Malaysia ini.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada taman tema air ini di atas kejayaan merangkul dua kategori MBOR. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat semua pemain industri untuk lebih efisien dalam mempelbagaikan produk pelancongan sehingga menggamit pelancong seantero dunia.

“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha dilaksanakan dalam mengatur dan menarik minat pengunjung serta berani dalam membuat sesuatu pembaharuan sebagai daya tarikan pelancongan di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Majlis Penganugerahan ‘The Malaysia Book of Records’ Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park diadakan di taman tema itu, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) Melaka, Yeow Chin Chai.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron; Pengerusi Melaka Wonderland, Datuk Zool Hilmi Abdul Ghaffar; Pengarah Melaka Wonderland, Datuk Michelle Ong serta tetamu lain.

Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan taman tema berkenaan yang bersama-sama menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri dalam menarik lebih ramai kemasukan pelancong sempena TMM2024 dengan pelbagai tawaran menarik buat orang ramai.

“Syabas kepada pihak pengurusan kerana menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dengan memberi kemasukan percuma sempena cuti umum pada Hari Pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari ini.

“Taman tema ini juga turut menyediakan tawaran hebat kepada pengunjung dengan menawarkan potongan harga sehingga 10 peratus bagi menikmati taman tema air pada waktu siang selain telah membawa tarikan baharu seperti aktiviti berkayak, mini zoo serta pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11577
Kongsi :

2 thoughts on “Teman tema air Melaka pecah rekod

Comments are closed.

Previous post Cemerlang sejarah dapat RM200
Next post Murid, pelajar Melaka terima BAP sebelum cuti penggal
Ubah saiz-+=