Sorting by

×

Syarikat penerbangan diberi insentif bantu Tourism Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Tourism Malaysia menjanjikan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan yang bersedia untuk membantu meningkatkan jumlah pelancong ke Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar berkata, hasrat itu diterjemah menerusi geran penerbangan yang ditawarkan menerusi beberapa pilihan yang ditawarkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, sekurang-kuranganya tiga pilihan insentif ditawarkan kepada syarikat penerbangan dari mana-mana lokasi atau destinasi luar negara ke Malaysia.

“Di bawah geran penerbangan, untuk pilihan pertama kita beri galakan kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan atau penerbangan sewa khas ke Malaysia.

“Pilihan kedua, penambahan beberapa frekuensi lain melibatkan mana-mana syarikat penerbangan atau penerbangan sewa khas yang terbang ke Malaysia dari mana-mana destinasi seterusnya menambah kapasiti penumpang.

“Manakala pilihan ketiga kita minta untuk syarikat penerbangan memikirkan perjalanan baharu sebagai contoh kalau sebelum ini penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur, selepas ini Beijing ke Pulau Pinang atau Beijing ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penganugerahan ‘The Malaysia Book of Records’ Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah taman tema air, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (Motac) Melaka, Yeow Chin Chai.

Dalam pada itu, Dr. Ammar turut memaklumkan setakat Januari hingga Oktober tahun lalu, Malaysia menerima 18 juta pengunjung luar negara, yang mana 1.4 juta daripada jumlah itu merupakan pengunjung dari China.

“Saya percaya sehingga Disember 2023, statistik pengunjung luar ke negara ini melebihi 20 juta di mana ia sudah melebihi sasaran Kerajaan iaitu 18 juta setakat Oktober tahun lalu.

“Manakala sasaran untuk pelancong dari China pula pada kita tetapkan seramai 5 juta pengunjung pada tahun ini.

“Jumlah kunjungan dari China bakal meningkat menerusi pilihan dan strategi yang disediakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post Murid, pelajar Melaka terima BAP sebelum cuti penggal
Next post BSAT MAIM santuni asnaf terlantar
Ubah saiz-+=