MUSA ambil alih bola sepak Melaka musim depan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) akan mengambil alih semula pasukan bola sepak negeri bermula musim depan.

Presiden MUSA Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, pengambil alihan itu bagi memastikan skuad Hang Tuah tidak lagi terkubur susulan kemelut gaji yang berlaku dengan pengurusan ketika ini.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.

“Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Mohd Ali memandang serius perkara yang berlaku dan akan mengadakan pertemuan bersama pihak Kenteam Sdn Bhd sendiri untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Untuk tahun 2023, saya sendiri akan melantik peguam untuk menyediakan perjanjian yang mana saya akan pastikan MUSA menjadi pemilik 40 peratus saham dan baki 60 peratus lagi akan dipecahkan kepada empat syarikat swasta baharu yang tidak lagi melibatkan Kenteam Sdn Bhd.

“Kita akan berbincang secara terperinci bersama Exco dan semua yang terlibat sama ada akan menukar nama baharu untuk pasukan bola sepak Melaka tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres Luar Biasa MUSA di sebuah hotel di Banda Hilir.

Hadir sama, Timbalan Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden MUSA Datuk Khairi Anuar Ahmad dan barisan Jawatankuasa MUSA.

Pada kongres itu, Nur Azmi turut mengumumkan Datuk Karim Yaacob sebagai Setiausaha Agung MUSA yang baharu.

Mengulas mengenai isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC, Nur Azmi berkata, pihaknya meminta Kenteam Sdn Bhd untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji yang berlaku memandangkan MUSA sama sekali tidak terlibat berkaitan aspek pembayaran.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020.

“Dalam perjanjian oleh KenTeam Sdn. Bhd. sewaktu mengambil alih MUFC, nama MUSA tidak tertera.

“Sebenarnya, bila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani itu banyak perkara-perkara berkaitan pasukan tidak melibatkan MUSA. Ini yang menjadi pelik kerana perjanjian itu sangat longgar.

“Jadi, untuk akan datang, kita akan cuba untuk menjadi lebih ‘transparent’ supaya tiada lagi isu berulang timbul membabitkan pasukan Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7600
Kongsi :

One thought on “MUSA ambil alih bola sepak Melaka musim depan

Comments are closed.

Previous post BAM sasar satu emas di Sepanyol
Next post MUSA janji Melaka kekal beraksi di Liga Super
Ubah saiz-+=