Naik taraf jeti Klebang Besar legakan nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 9 Mei – Kerja-kerja menaik taraf Pengkalan Jeti Nelayan Klebang Besar kini sedang giat dilaksanakan akan melancarkan lagi aktiviti perikanan di perairan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, projek dimulakan sejak 19 April lalu itu mampu menampung kemasukan nelayan baharu yang akan di tempatkan di pengkalan berkenaan.

Ban Hong berkata, antara kerja naik taraf dijalankan adalah memanjangkan tanjakan (ramp) di bahagian kiri dan kanan jeti serta melandaikan kecerunan pintu masuk jeti yang keseluruhan membabitkan kos RM75,000.

“Pemanjangan tanjakan ini dari sembilan kepada 12 meter akan melancarkan lagi urusan nelayan menyusun bot masing-masing.

“Mengikut rekod semasa pengkalan ini ada 24 nelayan dan selepas kerja naik taraf 19 lagi akan masuk, iaitu 13 membabitkan Jeti Nelayan Sementara di Limbongan dan enam dari Kota Laksamana,” katanya pada sidang media selepas lawatannya di Pengkalan Jeti Nelayan Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka, Darleena Baharudin, Ketua Unit Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Rohana Osman.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 3.14.45 PM
ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong bersama wakil agensi berkenaan dalam pertemuan bersama nelayan.

Sementara itu, Pengerusi Nelayan kawasan itu, Md Said Adam, 62, meluahkan rasa syukur selepas permasalahan dihadapi mereka akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Katanya, kerja naik taraf dan kerja mendalamkan muara mampu merancakkan semula aktiviti perikanan di perairan itu, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya mewakili nelayan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Adun kawasan dan agensi berkaitan yang hadir mendengar dan menyelesaikan masalah kami serta mengambil tindakan segera,” katanya.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 4.00.39 PM

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1534
Kongsi :
Previous post Kebun kerang ubah nasib nelayan
Next post Melaka tuan rumah sambutan Hari Bomba Sedunia 2023
Ubah saiz-+=