Kebun kerang ubah nasib nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 9 Mei – Projek perintis Kebun Kerang Melaka seluas 21 hektar di perairan Melaka tidak mustahil mampu mengubah nasib kira-kira 180 nelayan pantai daripada status B40 kepada T20.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek kebun kerang akan memberi manfaat dalam meningkatkan ekonomi nelayan kecil persisir pantai.

Dr. Muhamad Akmal berkata, projek itu bakal dimulakan Jun ini dan jika semuanya berjalan mengikut perancangan peserta akan mula menuai hasil Januari 2024 nanti.

“Kalau kita ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada, Insya-Allah hasilnya seperti kajian yang sudah dijalankan. Sekali tuai boleh mencecah ratusan kilogram dan kita jangkakan setahun boleh mencapai 750 tan metrik.

“Dengan hasil tuaian yang banyak ini (peningkatan pendapatan dijangka) lebih 100 peratus penambahan. Tidak mustahil boleh ubah peserta daripada B40 kepada M40 dan seterusnya T20. Ini berdasarkan bukti kajian di Perak dan Pulau Pinang, nelayan sudah tidak pergi kelaut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Kursus Pengurusan Dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Melaka, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

photo1683616474
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh bersalaman bersama peserta kebun kerang sempena Majlis Perasmian dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, projek Kebun Kerang Melaka itu meliputi perairan antara Merlimau hingga ke Sebatu dengan keseluruhan sebanyak 18 lot.

“Maka untuk ini juga Kerajaan Negeri ada mengeluarkan insentif sebanyak RM990,000 untuk pelaksaan projek termasuk kajian.

“Malah peserta yang terbabit juga diberikan benih secara percuma selain mereka juga boleh jalankan perusahaan ini secara percuma selama dua tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2042
Kongsi :
Previous post BBP Jalan Kubu antara dinaik taraf
Next post Naik taraf jeti Klebang Besar legakan nelayan
Ubah saiz-+=