BBP Jalan Kubu antara dinaik taraf

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah atau dahulunya dikenali BBP Jalan Kubu, di sini, antara 69 BBP berusia lebih 50 tahun yang dinaik taraf menggunakan peruntukan kira-kira RM4 juta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, mengikut perancangan sebahagian bangunan berkenaan akan diubahsuai menjadi  muzium bomba selain menambah baik kemudahan yang lain.

Katanya, setakat ini kerja menaik taraf balai bomba terbabit dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ibu Pejabat JBPM.

“Persediaan awal termasuk mengkaji struktur bangunan telah siap, insya-Allah kerja menaik taraf bangunan akan dilalsanakan dalam tempoh terdekat.

“Jika dahulu ada kuarters di balai terbabit, namun memandangkan balai berkenaan sudah lama jadi sebahagian kemudahan itu akan dijadikan pejabat pentadbiran,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat JPBM Melaka, hari ini.

photo1683614746
ABU Bakar. Foto MR AZLI

Semalam, media melaporkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan 69 BBP di seluruh negara perlu ditambah baik.

Ia membabitkan 11 BBP masing-masing di Perak dan Johor, selain 10 di Selangor, lapan di Kedah, tujuh masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang, enam di Sarawak, lima di Negeri Sembilan, tiga di Terengganu dan satu di Melaka.

Abu Bakar berkata, pihaknya turut menerima peruntukan berjumlah RM2.4 juta untuk menaik taraf 11 BBP di Negeri Melaka.

“Peruntukan bagi setiap balai antara RM200,000 hingga RM230,000 membabitkan pembaikan kemudahan balai dan kuarters. Selain BBP Jalan Kubu yang berusia lebih 50 tahun, BBP Merlimau dan BBP Jasin antara balai bomba paling lama yang perlu diberi perhatian. Sekarang ini masih berjalan proses memanggil sebut harga dan tender,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1753
Kongsi :
Previous post Remaja 18 tahun antara jemaah haji termuda Melaka
Next post Kebun kerang ubah nasib nelayan
Ubah saiz-+=