Remaja 18 tahun antara jemaah haji termuda Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mei – Berkat kesedaran ibu bapa mendaftarkan anak di Tabung Haji seawal usia 7 tahun, seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menjadi jemaah haji tahun ini.

Remaja terbabit, Noor Nazzuhah Nabiha Mohd Norzi, 18, menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu sekali gus menjadi individu termuda dalam kalangan 890 bakal jemaah haji Melaka.

Lebih mengujakan buat Noor Nazzuhah Nabihah apabila dia terpilih ke Tanah Suci bersama ibu bapanya.

“Alhamdulillah rasa syukur sangat, menjadi insan terpilih menunaikan Rukun Islam kelima pada usia belasan tahun.

“Saya juga ambil peluang ini untuk menemani dan membantu ibu yang kini mengalami masalah kesihatan kerana pernah mengalami angin ahmar lebih tujuh tahun lalu,” kata anak bongsu dari enam beradik itu.

Noor Nazzuhah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1444 Hijrah di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, baru-baru ini.

Turut berkongsi cerita, bapanya, Mohd Norzi Mohd Nordin, 63, berkata dia bersama isteri, Norhiyah Abdul Rasid, 58, berasa gembira apabila dapat menunaikan ibadah haji bersama anak bongsunya.

Katanya, dia dan isteri yang merupakan pesara guru mengambil inisiatif membuka akaun Tabung Haji sejak kesemua enam anaknya bersekolah rendah.

“Jika dahulu di sekolah-sekolah, memang akan ada wakil Tabung Haji datang untuk membantu membuka akaun untuk murid-murid, dan dari situ kami buka kesemua akaun untuk anak-anak.

“Saya bersyukur apabila mendapat tahu kami bertiga dapat menunaikan ibadah haji bersama, dapatlah anak bongsu membantu ibunya di sana (ketika menunaikan haji) kerana faktor kesihatan yang kurang menentu.

“Dari segi persiapan, kami bertiga sudah bersedia mental dan fizikal dan diharapkan dipermudahkan urusan ketika mengerjakan ibadah haji kelak,” katanya yang menetap di Lubok China.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2079
Kongsi :
Previous post Melaka perkasa usahawan digital
Next post BBP Jalan Kubu antara dinaik taraf
Ubah saiz-+=