Melaka perkasa usahawan digital

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 9 Mei – Kerajaan Negeri akan membuka lebih banyak peluang bagi memperkasa keusahawanan digital menerusi inisiatif yang ditawarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, pelbagai peluang dan geran ditawarkan MDEC sebagai agensi yang membantu usahawan tempatan membina syarikat berteraskan digital di negeri ini.

“Menerusi geran seperti Geran Usahawan Digital ditawarkan MDEC akan membantu usahawan tempatan sebagai dana permulaan untuk membuka syarikat mahupun projek berkaitan digital.

“Kita difahamkan banyak geran-geran sedia ada selama ini yang ramai usahawan tidak tahu jadi kali ini kita akan usahakan ia akan sampai terus kepada rakyat Melaka.

“Tahun lepas di Melaka hanya ada 16 syarikat yang menerima peluang ini, jadi ini amat merugikan kita kerana kita perlu rebut peluang dan ruang diberikan kerajaan untuk terus memacu keusahawanan digital di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Dataran MARA, Nyalas, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Fairul Nizam berkata, Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta agensi terlibat akan melipat gandakan usaha itu bagi memastikan bidang keusahawanan digital dapat dimartabatkan.

“Kita bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta MDEC akan gerakkan perkara ini untuk bantu usahawan kita dalam memastikan mereka (usahawan digital) menerima geran tersebut.

“Proses ini juga perlu berdaftar dengan MDEC, jadi ada proses-proses yang perlu dipatuhi usahawan terlibat, mungkin sebelum ini mereka tidak tahu saluran yang betul dan bagaimana untuk mendaftar membuatkan kita terlepas peluang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1284
Kongsi :
Previous post Tangisan syukur terpilih tunai haji di usia emas
Next post Remaja 18 tahun antara jemaah haji termuda Melaka
Ubah saiz-+=