Naik taraf pembetung atasi banjir lumpur

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PANTAI KUNDOR 16 Ogos – Beberapa pembetung di kawasan berhampiran Kampung Bukit Berlian dan Paya Luboh, di sini, perlu dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir lumpur yang sering melanda kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, ia berikutan pembetung sedia tidak dapat menampung aliran air terutama ketika hujan lebat berterusan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya telah mengemuka permohonan kepada agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membantu isu banjir yang sering membelenggu penduduk itu.

IMG_20230815_211337
TUMINAH bersama pegawai seranta membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir lumpur.

“Kita melihat punca utama banjir di kawasan ini adalah disebabkan pembetung. Apabila paras air meningkat ketika hujan, ia tidak dapat menampung aliran air yang naik mendadak dan menyebabkannya melimpah ke rumah penduduk.

“Jadi, kita telah membuat permohonan dan berharap kerja pembesaran dua pembetung di kawasan ini dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan daripada masalah sama berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Berlian, di sini, petang semalam.

Tuminah berkata, gotong-royong itu disertai beberapa agensi Kerajaan Negeri antaranya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), SWM Environment Sdn Bhd, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pemimpin setempat.

IMG_20230815_210346
TUMINAH bersama wakil agensi dan pemimpin setempat yang terlibat dengan gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Berlian.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, hujan lebat yang berlarutan tengah malam Ahad lalu menyebabkan hampir 200 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dinaiki air.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 30 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut.

Tambah Tuminah lagi, selain bantuan membersihkan rumah, pihaknya juga akan membuat permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT) bagi membantu mangsa-mangsa terlibat banjir.

“Selain penduduk, kita juga akan membantu pesawah yang terjejas dengan banjir memandangkan musim menuai akan tiba tidak lama lagi.

“Saya difahamkan, pihak JPS akan menyediakan pam bagi membantu mengeluarkan air banjir yang masih bergenang di petak-petak sawah di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1521
Kongsi :
Previous post 11 mangsa tongkang karam di perairan Indonesia diselamatkan
Next post Bekas Exco Melaka, Datuk Wira Ab Karim meninggal dunia
Ubah saiz-+=