Nama-nama besar minat sertai Melaka FC

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Januari – Beberapa nama besar dalam arena bola sepak tanah air menunjukkan minat untuk menyertai Melaka FC yang akan kekal bersaing di saingan Liga M3 musim depan.

Perkara itu diakui pemilik Melaka FC Datuk Wira Nur Azmi Ahmad yang memaklumkan nama-nama besar itu membabitkan pemain serta jurulatih yang pernah beraksi dalam kancah saingan Liga Super sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan pihaknya menerusi jawatankuasa teknikal yang dilantik akan meneliti serta membuat penilaian sebelum menandatangani barisan terbaik yang akan menyarung jersi pasukan itu pada saingan 2024.

“Mungkin ada beberapa faktor membuatkan ramai pemain dan jurulatih ternama mahu menyertai Melaka FC walaupun kita beraksi di saingan Liga M3.

“Antaranya, faktor kebajikan dan tidak terpalit isu gaji yang telah kita buktikan pada musim lalu, yang mana walaupun keputusan kita tidak begitu baik, namun kita tetap membayar gaji seperti ditetapkan dalam kontrak.

“Insya-Allah pada Februari nanti kita akan umumkan barisan pemain dan jurulatih yang telah kita tandatangani berserta pelancaran jersi baharu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Governor Cup dan Toh Puan Cup 2023 di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, malam tadi.

Majlis itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Nur Azmi berkata, penganjuran Governor Cup menjadi medan untuk menggilap bakat anak tempatan dalam sukan bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan dalam saingan di peringkat lebih tinggi.

Katanya, bagi edisi kedua ini, seramai lapan ke 10 pemain telah menunjukkan potensi dan bakal diserap menyertai Melaka FC di saingan Liga M3.

“Dengan menyenaraikan pemain terbaik membarisi Melaka FC, sudah semestinya harapan kita adalah untuk bergelar juara dan seterusnya bersama-sama membantu Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) untuk kembali beraksi Liga Super.

“Melaka FC ini bukanlah pasukan milik individu tetapi ia sebuah pasukan yang akan bersama-sama membawa nama Negeri Melaka agar kita dapat mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Ditanya sama ada sudah dihubungi MAFA untuk berbincang, Nur Azmi memaklumkan setakat ini masih belum ada sebarang rundingan dilakukan, namun pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan badan induk bola sepak negeri itu sekiranya diperlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10825
Kongsi :
Previous post Tampoi FC julang Governor Cup, IM Team juara sulung Toh Puan Cup
Next post Pembaharuan lesen memandu, kenderaan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb – Loke
Ubah saiz-+=