Tampoi FC julang Governor Cup, IM Team juara sulung Toh Puan Cup

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Januari – Tampoi FC membuktikan keunggulan dalam arena bola sepak Negeri Melaka apabila muncul johan Governor Cup 2023 di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, malam tadi.

Mara ke perlawanan akhir buat dua edisi berturut-turut, skuad kendalian Mohd Hafiz Abdul Karim bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Perma FC 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar perlawanan.

Kemenangan itu melayakkan Tampoi FC membawa pulang hadiah kemenangan RM8,000 berserta piala pusingan dan medal, manakala Perma FC berpuas hati dengan RM5,000, piala dan medal selaku naib johan.

Lebih manis, dua pemain Tampoi FC iaitu Luqmanul Hakeem Norizam dan Fahmi Hanapiah turut dinobat penjaring terbanyak dan pemain terbaik perlawanan akhir sekali gus masing-masing membawa pulang RM500 dan trofi.

Sementara itu, bagi kejohanan bola jaring Toh Puan Cup, gelaran juara edisi sulung menjadi milik Istana Melaka (IM) Team yang menewaskan Spitfire Netballers 35-29 pada perlawanan akhir.

Selaku johan, IM Team membawa pulang hadiah kemenangan RM3,500 berserta piala pusingan dan medal.

Penyampian hadiah bagi johan Governor Cup dan Toh Puan Cup 2023 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama pada majlis penyampaian hadiah itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi Kejohanan Governor Cup dan Toh Puan Cup 2023 Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.

Untuk rekod, seramak 16 pasukan berentap bagi merebut gelaran juara edisi kedua Governor Cup dan 16 lagi bersaing untuk edisi sulung Toh Puan Cup.

Kedua-dua kejohanan itu telah bermula pada November lalu membabitkan beberapa venue antaranya Taman Seribu Bunga, Stadium Hang Tuah, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1426
Kongsi :
Previous post Melaka dekat di hati Siti Nordiana
Next post Nama-nama besar minat sertai Melaka FC
Ubah saiz-+=