NANTIKAN ANEKA MENU CUMA RM10 – KM
BANDARAYA MELAKA 22 September – Set Kombo Menu RM10 akan diperkenalkan sempena Melaka Bila Larut Malam bakal menjadi satu lagi tarikan untuk mengunjungi dan pelancong memilih negeri ini sebagai destinasi percutian utama.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, set Makanan pada harga RM10 itu akan mula diperkenalkan pada 5 Oktober nanti.
Jelas beliau, inisiatif Kerajaan Negeri itu juga bersahut dan setakat ini 30 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan bersetuju menyertai program tersebut.
“Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada para pengusaha kedai makan yang menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menyantuni rakyat.
“Saya mahu para pengusaha perniagaan makanan menggarap peluang ini sebaik mungkin untuk mengolah menu tersendiri dengan nilai RM10 sahaja.
“Harga yang cukup menarik ini tentunya bakal menarik minat para pengunjung membanjiri Melaka sewaktu Melaka Bila Larut Malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Set Kombo Menu RM10 Bagi Program Melaka Bila Larut Malam Dan Pelancaran Kilang Makan Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Jalan Tun Ali, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.
Seiring dengan kebanjiran pelancong sempena TMM2024, Ketua Menteri turut meminta semua pengusaha kedai makan untuk sama-sama cakna dengan kualiti makanan yang disediakan.
“Utamakanlah aspek kebersihan persekitaran kedai makan masing-masing. Sama-sama kita terus memastikan aspek kebersihan di Melaka berada di tahap yang cemerlang.
“Saya optimis, inisiatif ini akan berjaya menjadi tarikan baharu buat pengunjung mahupun pelancong untuk datang ke Melaka disamping menjadi platform untuk para pengusaha meningkatkan sumber pendapatan serta meluaskan promosi produk makanan masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.